BUKAN Rekod, Tapi Maverick Vinales Akui Kemenangan Sprint Di Portimao Melegakan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/24/20241 min read

MAVERICK Vinales menyifatkan kemenangan di Perlumbaan Sprint MotoGP Grand Prix (GP) Portugal, semalam sebagai melegakan sekalipun ia tidak memberikannya 'hak' untuknya bergelar pemenang bersama tiga pengeluar berbeza.

Bermula di petak kedua, pelumba pasukan Aprilia itu sedikit bergelut di awal perlumbaan dan dipintas sehingga menghuni tangga keempat sebelum bangkit.

Dan bekas pelumba yang pernah meraih kemenangan bersama Yamaha dan Suzuki di MotoGP (Perlumbaan utama) itu memanfaatkan kesilapan Francesco Bagnaia untuk memimpin perlumbaan dan melepasi garisan penamat sebagai juara.

Lebih menarik, pelumba kelahiran Sepanyol itu turut berjaya menghalang dua pelumba, Marc Marquez dan 'pakar' perlumbaan Sprint, Jorge Martin daripada memintasnya.

"Ia sudah begitu begitu lama!" kata Vinales. "Hari ini cukup sukar. Ada begitu banyak pertarungan. Tetapi itulah Perlumbaan Sprint.

"Sudah tentu saya amat gembira kerana saya akhirnya menghampiri kelompok ini. Ia adalah kelegaan yang amat, amat besar dan saya amat gembira untuk menunjukkan keyakinan dan potensi besar yang kami miliki.

"Apa yang saya lihat sebagai perbezaan, terutama dari Qatar hingga ke sini adalah saya benar-benar boleh melakukan brek dengan baik dan saya boleh memberi tekanan kepada tayar depan.

"Jadi saya boleh menjadi lebih kompetitif di mana-mana saja di dalam litar," katanya.

Sekalipun menang, kejayaan Vinales sebenarnya tidak diletakkan di dalam rekod rasmi MotoGP sebagai pelumba yang memenangi perlumbaan MotoGP bersama tiga pengeluar berbeza kerana ia adalah Perlumbaan Sprint.

Selain Vinales, turut berpeluang mencatatkan rekod sama adalah Jack Miller dan Alex Rins.

"Di dalam kepala saya, saya sudah melakukannya! Tetapi sudah tentu, saya masih amat mengharapkan kemenangan itu (GP) dan saya fikir pasukan juga sama," kata Vinales.

"Jika tidak di sini, ia akan berlaku di litar lain. Kini saya hanya mahu berada di garaj, cuba untuk memperbaiki beberapa perkara dan bersedia untuk perlumbaan utama kerana ia pasti perlumbaan yang panjang."

Vinales merangkul kemenangan MotoGP pertama bersama Suzuki pada musim 2016 sebelum meraih lapan lagi kemenangan bersama Yamaha yang kali terakhir diperoleh di GP Qatar pada 2021.