'BUKAN RM 1.5 Juta, Tapi Lebih'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/24/20241 min read


JUMLAH yang perlu dibayar Ducati, 300,000 Euro (RM 1.51 juta) andai Fermin Aldeguer gagal berada di grid MotoGP musim depan adalah tidak tepat malah angka 'denda' itu jauh lebih besar, dakwa pengurus pelumba kelahiran Sepanyol itu.
Ducati pada awal tahun ini membuat keputusan yang mungkin dianggap sedikit pelik apabila mengikat Aldeguer lebih awal untuk diletakkan bersama pasukan satelitnya.
Begitupun, situasi menjadi kelam kaut selepas pengeluar Itali itu membuat keputusan untuk mengikat Marc Marquez yang menyaksikan pasukan satelitnya, Pramac Racing terus bermain 'tarik tali' sehingga kini.
Berdasarkan kontrak, Pramac mempunyai masa sehingga 31 Julai ini untuk memutuskan kekal bersama Ducati atau menyertai pengeluar lain dan sedang kuat dikaitkan dengan Yamaha.
Jika Pramac bertindak menyertai Yamaha, tempat untuk Ducati di grid menjadi mengecil yang turut mencetus persoalan sama ada Aldeguer akan dapat beraksi di kancah elit itu seawal musim depan atau tidak.
Dan jika tidak, laporan media menyatakan Ducati perlu membayar pampasan setinggi RM 1.51 juta namun ia dinafikan pengurusnya, Hector Faubel.
"Ia sudah dilaporkan yang jika Ducati memberitahunya (Aldeguer) yang dia tidak akan mempunyai jentera tahun depan, dia akan menerima pampasan berjumlah 300,000 Euro (RM 1.515 juta)," Faubel memetik laporan Mundo Deportivo.
"Ia tidak betul. Saya tidak boleh memberitahu angkanya, tetapi ia jauh lebih tinggi."
Selain membabitkan 'denda', Faubel turut mendedahkan berdasarkan kontrak, Aldeguer akan mula menunggang jentera spesfikasi 'kilang' seawal 2026.
"Kami menandatangani kontrak 2 tahun + 2 tahun. Kami mempunyai dua tahun yang sudah pasti dan dua lagi yang bergantung kepada syarat.
"Pada pandangan saya, saya fikir mereka mampu melakukannya melihat kepada apa yang mereka boleh lakukan di MotoGP.
"Berdasarkan kontrak, tahun pertama dia (Aldeguer) boleh menunggang Desmosedici GP24 atau GP25. Ducati yang akan memutuskannya. Tahun kedua dia akan menunggang GP26 tidak kira apa yang terjadi.
Mengulas lajut, Faubel menyatakan pihaknya masih belum diberitahu pasukan apa yang akan disertai Aldeguer.
"Tetapi Ducati memberitahu kami untuk kekal tenang. Mereka memberitahu kami yang mereka yang akan memilihnya dan itulah yang akan kami ikut," katanya.
Ketika ini, Aldeguer menghuni tangga ke-6 carta kedudukan pelumba Moto2 2024 selepas tujuh pusingan.
