BUKAN Saja-Saja, Pecco Ada Sebab Pintas Martin Di Selekoh 5 Catalunya

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/27/20241 min read

FRANCESCO Bagnaia menjelaskan dia memiliki sebab untuk memintas Jorge Martin di selekoh 5 di Catalunya dalam usahanya menjuarai perlumbaan MotoGP Grand Prix Catalan 2024, semalam.

Pelumba pasukan 'kilang' Ducati Lenovo itu ketika Perlumbaan Sprint terjatuh pada pusingan terakhir, ironinya di selekoh sama ketika sedang mendahului yang menghadiahkan kemenangan kepada pelumba Aprilia, Aleix Espargaro.

Mengakui sering dipalit malang pada aksi di Catalunya sebelum ini, kemenangan pada perlumbaan utama jelas satu kelegaan.

"Semalam (kelmarin) saya membenci selekoh itu, saya masih tak dapat percaya yang saya jatuh daripada jentera pada pusingan terakhir ketika mendahului dengan jurang yang besar," kata Bagnaia memetik laporan GPOne.

"Ia memerlukan masa untuk saya meredakan kemarahan saya, tetapi ia membantu saya.

"Ia berakhir. Sejak saya berlumba di Kejuaraan Motosikal Dunia, saya tidak pernah mendapat keputusan ya g baik di sini. Pelbagai perkara berlaku kepada saya, tayar kempis, tersingkir di selekoh pertama sehingga kemalangan pada tahun lalu.

"Kami memerlukannya. Semalam saya terjatuh kerana memperlahankan jentera, kami melawak mengenainya. Saya benar-benar tak dapat mempercayainya, tetapi untuk mengakhirinya... Kamu tidak akan tahu."

Menurut Pecco, dia memang sengaja memilih selekoh lima untuk memotong Martin.

"Mengenai Jorge, saya meningkat dengan banyak pada setiap selekoh, jadi ada lebih banyak untuk memintas tetapi saya melihat peluang pada selekoh 5.

"Saya tahu dengan memberikan lebih tekanan kepada selekoh itu saya juga dapat mengeluarkan apa yang berlaku kepada saya keluar. Jadi saya melakukannya dengan sengaja."

Mengulas lanjut, Bagnaia berkata dia sudah penat 'membuang' mata pada Sabtu.

"Pada tiga pusingan terakhir, saya kompetitif tetapi dua kali kemalangan dan sekali berdepan masalah jentera. Saya sudah banyak kehilangan mata, ia adalah sesuatu yang saya perlu perbaikidan pasukan juga membantu saya.

"Saya hanya perlu melengkapkan perlumbaan, ia adalah berkaitan mata yang pada akhirnya membantu kamu pada penghujung kejuaraan."