BUKAN Salah Saya Pramac Sertai Yamaha - Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/17/20241 min read

TINDAKAN Ducati Corse memilih Marc Marquez mengisi kekosongan di Ducati Lenovo didakwa menjadi antara punca pengeluar Itali itu kehilangan beberapa asetnya, termasuk pasukan satelit rasmi Pramac.

Selain Pramac, Ducati Corse turut 'hilang' tiga pelumba muda berbakat besar - Jorge Martin, Enea Bastianini dan Marco Bezzecchi mengikuti pengesahan Marquez ke Ducati Lenovo.

Martin dan Bezzecchi membuat keputusan menyertai Aprilia manakala Enea Bastianini menyertai pasukan satelit KTM, Tech3 KTM.

Pramac yang menjadi pasukan satelit rasmi buat Ducati dalam pada itu membuat keputusan untuk menjadi pasukan satelit Yamaha.

Mengulas mengenai situasi membabitkan Pramac, Marquez yang juga juara dunia lapan kali menjelaskan apa yang berlaku bukan berpunca daripadanya.

"Saya langsung tak rasa bersalah mengenai Pramac meninggalkan Ducati, kerana saya tidak melakukan apa-apa," kata Marquez memetik laporan Autosport.

"Benar sebagai pelumba Ducati saya mahu mereka meneruskannya, kerana ia bermakna dua lagi jentera di litar, lebih maklumat dan mereka adalah pasukan yang penting untuk Ducati.

"Sebagai peminat MotoGP saya fikir ia berita yang baik.

"Satu perkara lagi, dan mungkin agak mementingkan diri, saya lebih gemar dua lagi jentera Ducati di atas litar, tetapi sebagai peminat ia adalah langkah yang normal, salah satu pasukan Ducati pergi ke Yamaha, untuk kejuaraan kini satu lagi pasukan Jepun mempunyai empat jentera dan dua jentera Itali berkurangan di kejuaraan."

Bos Pramac, Paolo Campinoti secara terang-terangan mengkritik tindakan Ducati memilih Marquez berbanding pelumbanya, Martin dan mendakwa pengeluar Itali itu melupakan falsafah menyenaraikan pelumba muda.