BUKAN Sebab Gaji, Tapi Pakej Terbaik JDT - Hafizh Syahrin

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/5/20241 min read

HAFIZH Syahrin Abdullah mendedahkan penampilannya bersama JDT Racing Team bukan disebabkan oleh gaji tinggi, sebaliknya pakej terbaik yang mampu disediakan pasukan itu selain mentaliti yang diterapkan JDT.

Bekas pelumba MotoGP dan WorldSBK negara itu menyertai JDT Racing Team pada musim ini dan dijadual beraksi dalam kempen Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) menggunakan jentera Ducati Panigale V4R.

Ketika ditanya mengenai apa yang memikatkan untuk ke pasukan berpangkalan di selatan tanah air yang terkenal dengan bola sepak itu, pelumba kelahiran Ampang itu berkata gaji bukan motivasi utamanya.

"Saya tidak pernah bertanya mengenai gaji yang saya mahukan (Ketika pertemuan dengan JDT) saya hanya mahu berlumba," kata Hafizh ketika sidang media pelancaran JDT Racing Team, baru-baru ini.

"Saya sendiri berkata kepada Kevin (Ramalingam - Ketua Unit Komersil JDT)mungkin tidak perlu membayar saya gaji, namun beri jentera terbaik, pakej terbaik yang saya mahukan.

"Dan kepada yang berkata mengapa saya memilih JDT, ini kerana JDT memberikan saya apa yang saya mahukan. Jadi ia bukan disebabkan oleh duit tetapi mentaliti JDT yang sentiasa mahukan kemenangan.

"Saya boleh katakan ketika ini saya memiliki orang-orang terbaik di sekeliling saya terutama TMJ (Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim). Saya bersedia untuk memikul logo ini," kata Hafizh.

Hafizh yang juga pelumba Asia Tenggara pertama beraksi dalam kancah MotoGP secara semusim penuh pada musim lalu berlumba di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dalam kelas elit WorldSBK bersama pasukan Petronas MIE Racing Honda.

Sebagai info, kempen ARRC 2024 dijadual bermula pada 15 hingga 17 Mac depan di Buriram, Thailand.