BUKAN Yamaha, Marco Bezzecchi Idam Pasukan 'Factory' Ducati
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/13/20241 min read


BINTANG pasukan MotoGP VR46 Racing, Marco Bezzecchi menyifatkan berlumba dengan sut lumba pasukan 'Factory' Ducati sebagai impiannya.
Pelumba yang diasah bakatnya menerusi akademi VR46 milik legenda Valentino Rossi itu mencipta kejutan pada musim lalu dan menjadi antara pencabar utama kejuaraan sebelum dihimpit kecederaan bahu.
Menolak untuk menyertai pasukan satelit yang menggunakan jentera 'Factory' Pramac Racing, Bezzecchi dijangka akan sekali lagi memberikan cabaran sengit pada musim 2024.
"Saya mahu menjadi pelumba 'Factory' untuk Ducati," kata Bezzecchi kepada Speedweek. "Ini adalah impian saya kerana saya benar-benar gemar cara mereka bekerja.
"Saya gemar dengan projek mereka, saya suka segala-galanya. Saya perlu mengakui yang pengeluar lain sedang menghampiri dari sudut tahap, tiada lagi kelebihan membabitkan kelajuan atau perkara lain.
"Apa yang menjadi perbezaan adalah kami, kelapan-lapan pelumba memang pelumba yang kuat. Sudah tentu semua pelumba lain juga kuat dan jangan salah faham, tetapi jika lapan pelumba yang kuat menunggang jentera yang sama, ia adalah kelebihan sebagai contoh berbanding dua pelumba yang kuat di Yamaha.
"Ia adalah normal. Saya mahu kekal bersama Ducati tetapi kita tunggu dan lihat," katanya.
Mengulas mengenai tindakannya kekal di VR46 berbanding menyertai Pramac, Bezzecchi menyifatkan ia keputusan itu sebagai sukar kerana ia ditawarkan oleh Ducati namun menegaskan ia sebagai tepat.
"Mengapa saya perlu berpindah daripada satu pasukan satelit ke pasukan satelit yang lain? Sasaran saya adalah seperti pelumba MotoGP lain, berada di pasukan 'Factory'.
"Akademi VR46 berusaha untuk menyediakan saya untuk pasukan 'Factory' sejak debut Moto3 saya. Banyak yang mereka lakukan untuk saya, mengapa saya perlu meninggalkan mereka untuk menyertai pasukan satelit yang lain?"
Ironinya, VR46 ketika ini kuat dikaitkan dengan perpindahan pengeluar ke Yamaha selepas kontraknya bersama Ducati berakhir musim ini dengan Vale sememangnya duta jenama berkenaan.
