CAJ Sewa Petronas SIC 'Meroket' Lebih 40 Peratus, Harga Baru Mula 1 April 2024!

TERKINI

1/15/20241 min read

CAJ sewaan untuk penggunaan litar dan fasiliti di Petronas Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan meningkat lebih 40 peratus dengan harga baharu akan berkuatkuasa pada 1 April ini.

Berdasarkan kadar sewaan baharu yang diumumkan oleh SIC, sewaan litar pada sesi hari bekerja akan meningkat daripada RM 55,000 kepada RM 70,000 yang juga peningkatan sebanyak 27 peratus.

Dan untuk sewaan pada hujung minggu, ia meningkat daripada RM 60,500 kepada RM 80,000 yang juga peningkatan sebanyak 32 peratus.

Bagi sewaan untuk penggunaan malam pula, kadar bagi hari bekerja adalah RM 78,000 berbanding RM 55,000 sebelum ini.

Manakala untuk sesi malam hari minggu, kadar sewaan barunya adalah RM 88,000 berbanding RM 60,500 yang juga peningkatan sebanyak 45 peratus.

Harga yang diumumkan termasuk perkihdmatan pegawai teknikal dan perubatan, termasuk ambulans dan kenderaan bomba, pembersih dan kakitangan keselamatan serta akses kepada kemudahan yang berkaitan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif menjelaskan peningkatan harga sewaan itu adalah bagi memastikan litar yang mendapat klasifikasi Gred 1 FIA itu untuk kekal beroperasi dengan standard tinggi.

"Sebagai sebahagian daripada komitmen SIC untuk mengekalkan standard tertinggi dari sudut perkhidmatan dan fasiliti, kami mengumumkan pelarasan harga sewaan litar dan kemudahan kami yang akan berkuat kuasa pada 1 April 2024," kata Shafriman memetik laporan NST.

Menurut Shafriman, keputusan itu penting dalam usaha untuk mengekalkan kualiti kemudahan dan meningkatkan perkhidmatan dengan penambahbaikkan akan memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pelanggannya.

Sebelum ini, notis mengenai kadar harga baharu sewaan SIC tular di media sosial dan mendapat reaksi pelbagai.

Sharfiman berkata, notis berkenaan dikeluarkan bagi membenarkan pelanggan serta pemegang taruhnya untuk melakukan persediaan selain mengekalkan kelelusan litar berkenaan.

Sebagai info, kadar sewaan SIC dilaporkan tidak berubah sejak tahun 2013 dan peningkatan harga berkenaan bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ia sudah diumumkan sebelum ini.