CARA Marc Marquez Elak Kemalangan Di Sachsenring
Marc Marquez ada cara untuk mengelak kemalangan di Sachsenring, litar yang menyaksikan hanya 10 pelumba berjaya menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Jerman 2025
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/14/20251 min read


'RAJA' Sachsenring, Marc Marquez mengakui dia mempunyai cara untuk mengelak kemalangan di litar berkenaan yang menyaksikan hanya 10 pelumba berjaya menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Jerman 2025, semalam.
Menurut pelumba Ducati Lenovo itu, kemalangan yang terjadi memberikannya tumpuan tambahan terhadap perlumbaan bagi mengelak situasi itu terjadi kepadanya.
Selepas menjuarai Perlumbaan Sprint yang berlangsung dalam keadaan basah pada Sabtu, juara dunia lapan kali itu sekali lagi menampilkan dominasi penuh apabila memimpin perlumbaan dari awal sehingga penamat.
Kemenangan pada perlumbaan MotoGP ke-200 kariernya itu bukan saja menyaksikannya meningkatkan jurang kepada 83 mata di puncak carta, tetapi kemenangan ke-9 di litar berkenaan.
"Saya cuba untuk fokus, untuk memahami segala-galanya," kata Marquez kepada TNT Sport. "Pada selekoh 1, saya faham yang di sana, sekali pun tidak banyak, tetapi ada 'tailwind' di sini.
"Jadi kamu tidak boleh melakukan brek di tempat yang sama. Arah tuju jentera berbeza. Perkara ini, dan ditambah yang kami mempunyai kurang getah di litar disebabkan keadaan hujan semalam.
"Ia situasi sulit. Saya melihat tanda (kemalangan) pada pusingan seterusnya. Kemalangan ini memberikan saya tumpuan tambahan."
Selain mengukuhkan statusnya sebagai 'raja' di Sachsenring, kemenangan turut menyaksikannya kini mengumpul keseluruhan 69 kemenangan dan mengisi posisi pelumba kedua terbanyak meraih kemenangan di perlumbaan GP di belakang Valentino Rossi.
"Cukup gembira untuk mengharungi perlumbaan ke-200 GP dengan kemenangan. Kemenangan ini, di Sachsenring adalah apa yang sama mahukan kerana kami tahu ia adalah litar yang bagus untuk saya.
"Ia adalah kelebihan terbesar pada tahun ini. Saya berlumba dengan cara yang baik dan keadaan litar juga licin, yang juga kegemaran saya."
