'CARA Nak Kekalkan Marc Marquez, Jorge Martin Di Ducati'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/16/20241 min read

JORGE Lorenzo percaya dia memiliki jawapan bagaimana Ducati ingin mengekalkan dua bintangnya, Jorge Martin dan Marc Marquez bersama pengeluar Itali itu musim depan.

Ducati Corse sebelum ini mengesahkan akan membuat keputusan mengenai barisan pelumba pasukan 'kilang' Ducati Lenovo bagi musim 2025 sebelum Grand Prix (GP) Itali 2024.

Ketika ini, tiga pelumba disenarai dikatakan berpotensi mengisi posisi 'panas' itu iaitu Martin, Marquez dan rakan sepasukan Francesco Bagnaia ketika ini, Enea Bastianini.

Mengakui Ducati tidak akan mampu membuatkan ketiga-tiganya kekal, Lorenzo begitupun mendakwa pengeluar itu berpeluang mengekalkan dua daripada nama yang disebut terutama Martin dan Marquez.

“Ducati mahu mengekalkan keempat-empat mereka. Apa yang ideal bagi mereka adalah kesemuanya memakai sut lumba merah, tetapi ia mustahil kerana peraturan jadi mereka hanya boleh memilih satu," kata Lorenzo memetik laporan DAZN.

"Saya fikir mereka (Ducati) mampu untuk mengekalkan tiga pelumba, manakala seorang lagi akan berpindah.

"Saya fikir Jorge akan keluar jika dia tidak memakai warna merah. Juga Bastianini akan keluar jika dia diturunkan pangkat.

"Satu-satunya yang mereka boleh kekalkan tanpa memakai warna merah adalah Marc Marquez, tetapi dengan jentera 'kilang'.

"Cara paling logik untuk mengekalkan sekurang-kurangnya tiga daripada empat adalah meletakkan Jorge Martin dalam pasukan rasmi dan Marquez menggunakan jentera yang sama dengan Bagnaia dan Martin bersama pasukan Gresini atau Pramac jika mereka kekal bersama Ducati.

"Itu adalah teori saya," kata Lorenzo.

Begitupun, teori Lorenzo ini turut bermasalah kerana Marquez sebelum ini pernah menyatakan dia hanya akan menyertai pasukan berstatus 'factory' musim depan dan bukannya pasukan satelit yang menggunakan jentera 'factory' seperti Pramac ketika ini.