CASEY Stoner Beri Bezzecchi Pujian Menggunung, Kenapa?
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/20/20231 min read
JAGOAN MotoGP Australia yang kini bergelar legenda, Casey Stoner menghamburkan pujian kepada pelumba muda Itali, Marco Bezzecchi yang disifatkan memiliki 'sesuatu yang pelumba lain kurang' di atas grid MotoGP ketika ini.
Stoner berkata, dia mula melihat potensi yang dimiliki Bezzecchi, yang ketika ini berlumba bersama pasukan satelit Ducati milik seorang lagi legenda MotoGP, Valentino Rossi iaitu Mooney VR46 sejak kali pertama dia melihat Bezzecchi berlumba.
Kata-kata itu diucapkan oleh Stoner, memetik laporan Crash.net menerusi temuramah bersama Speedweek ketika acara Goodwood Festival of Speed, baru-baru ini.
"Sejurus saya melihatnya berlumba, saya menyukainya," kata Stoner. "Di mata saya, dia mempunyai sesuatu yang pelumba lain kurang.
"Jika kamu tidak menggunakan sistem Kawalan Traksi, dia salah seorang pelumba yang tetap berupaya untuk bersaing di kelompok depan. Marco mempunyai corak tunggangan yang membenarkan dia menggunakan cengkaman dengan caranya yang unik.
"Segelintir pelumba yang sedang bersaing merebut kejuaraan mungkin akan terus berada di depan. Tetapi saya fikir Marco akan memperoleh sedikit kelebihan jika Kawalan Traksi tidak digunakan, dan pelumba diberitahu untuk mencari cengkaman mereka sendiri."
Bezzecchi yang membuat debut MotoGP pada musim lalu memenangi perlumbaan MotoGP pertamanya di GP Argentina, yang juga kemenangan pertama MotoGP buat pasukan Mooney VR46 pada April lalu.
Anak didik Vale berusia 24 tahun itu ketika ini menghuni tangga ketiga carta kedudukan pelumba MotoGP 2023 dan ketinggalan 36 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Francesco Bagnaia.
Sumber imej: FB Casey Stoner, Marco Bezzecchi