CASEY Stoner Dedah Pernah Kena 'Krik, Krik' Dengan Yamaha Dua Kali!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/19/20231 min read
CASEY Stoner - juara dunia MotoGP dua kali mendedahkan dia pernah mendapat tawaran untuk menyertai Yamaha sebanyak dua kali - namun kedua-duanya berakhir dengan 'keperitan'.
Dalam satu temuramah bersama TNT Sport, legenda Australia itu berkata tawaran pertama dari Yamaha tiba ketika debutnya di MotoGP pada musim 2006 sebelum peluang itu terbuka lagi pada 2007.
Begitupun, ia tidak berjalan seperti dirancang dan lebih teruk, bekas pelumba Honda dan Ducati itu ditingkalkan tanpa jawapan oleh Yamaha.
"Ya, mereka 'memadamkannya' sebanyak dua kali! Pada 2005, sebelum musim 2006, saya sepatutnya berada di pasukan satelit dan kemudian pasukan utama setahun selepas itu," kata Stoner.
"Dan kemudian, tanpa sebarang petanda, segala-galanya menjadi senyap. Mereka jelas menggunakan saya sebagai 'kambing hitam' untuk mendapatkan pelumba lain dengan harga diskaun."
Selepas menghabiskan musim pertamanya di MotoGP bersama LCR Honda yang menyaksikannya turut meraih petak utama dan podium, Stoner berkata Yamaha sekali lagi menghubunginya bagi musim 2007.
Dan anehnya situasi sama berulang.
"Mereka menawarkan saya kontrak sekali lagi pada 2006, untuk 2007, tetapi sekali lagi, ia berakhir tanpa apa-apa. Jadi, saya berada dalam situasi tanpa pasukan. Kami hilang arah, tiada pasukan untuk berlumba.
"Kemudian, Ducati menghubungi kami."
Tindakan Yamaha jelas seperti memakan diri dengan Stoner mencipta sensasi dengan menghadiahkan Ducati kejuaraan dunia MotoGP pada musim pertamanya bersama pasukan itu.
“Sejujur-jujurnya, Yamaha memberikan saya motivasi. Apa yang saya mahu lakukan pada permulaan musim adalah mendapatkan beberapa podium. Membuatkan mereka rasa rugi kerana mereka tidak memilih saya," katanya.