CASEY Stoner Tak Percaya Ducati Mahu 'Cipta Masalah'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/9/20241 min read


CASEY Stoner percaya Ducati enggan 'mencipta masalah' dalam pemburuan gelaran dunia MotoGP musim ini.
Sekalipun kejuaraan sah akan menjadi milik Ducati, pengeluar Itali itu ketika ini berdepan dilema apabila gelaran dunia berpotensi besar dimenangi pelumba pasukan satelit, Jorge Martin berbanding pelumba pasukan 'kilang', Francesco Bagnaia.
Pernah beberapa kali dituduh 'melakukan sesuatu' sebelum ini, tetapi bagi juara dunia MotoGP dua kali, Stoner percaya Ducati tidak akan melakukannya pada kali ini.
Bercakap dalam temuramah bersama Gazzetta dello Sport di EICMA, Stoner percaya masih ada individu penting dalam pengurusan Ducati tidak mahu plat nombor satu itu jatuh ke tangan Aprilia tahun depan.
"Itu adalah apa yang Gigi (Dall’Igna) fikir, tetapi ada juga individu (bos-bos di Ducati) tidak mahu kehilangan nombor satu itu," kata Stoner.
"Tetapi semua orang sedang melihat mereka dengan terperinci, jika mereka melakukan kesilapan seperti itu, ia akan diketahui.
"Jika mereka mencipta masalah, ia akan memakan diri. Saya berharap segala-galanya berjalan dengan baik dan kita boleh melihat juara dunia yang sebenar."
Stoner yang pernah menjulang gelaran dunia MotoGP bersama Ducati pada 2007 turut mengakui terkejut pengeluar itu membenarkan Martin mempunyai peluang sebesar itu.
Diketahui tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Ducati, Stoner meninggalkan pasukan itu untuk menyertai Honda pada 2011.
Legenda Australia itu kembali ke Ducati sebagai pelumba ujian pada 2016 sebelum meninggalkan tugas itu pada 2018.
Penentuan kejuaraan dunia MotoGP bakal ditentukan di pusingan terakhir di Barcelona minggu depan dengan Martin memiliki kelebihan 24 mata di depan penyandang juara, Bagnaia.
