CASTROL Ganti Repsol Taja Honda?
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/23/20241 min read


HONDA atau lebih tepat pasukan 'kilangnya' dilaporkan akan menjalinkan kerjasama dengan syarikat gergasi British, Castrol musim depan.
Memetik laporan Motorsport, Honda dan Castrol hampir untuk memuktamadkan perjanjian penajaan berkenaan.
Begitupun, Castrol tidak akan menjadi penaja utama, tugas yang sebelum ini dipegang Repsol.
Castrol memang sudah mengadakan kerjasama dengan pasukan satelit Honda, LCR Honda MotoGP dan kerjasama itu akan berterusan pada 2025.
Honda seperti diketahui akan kehilangan tajaan daripada syarikat minyak gergasi Sepanyol, Repsol pada penghujung musim ini.
Keputusan itu menyaksikan kerjasama unik yang berjalan selama 30 tahun berakhir.
Repsol dan Honda sememangnya tampak cukup sinonim di MotoGP terutama ketika era dominasi juara dunia lapan kali, Marc Marquez.
Kerjasama dua syarikat itu menyaksikan mereka menjulang 15 gelaran dunia kategori pelumba.
Tetapi selepas Marquez membuat keputusan untuk meninggalkan Honda pada penghujung musim lalu, komitmen Repsol nampak mula mengendur.
Tidak seperti musim-musim sebelumnya, jentera MotoGP Honda pada musim ini hanya dihiasi dengan pelekat Repsol yang tidak begitu ketara.
Sekalipun bukan penaja utama, kehadiran Castrol pasti satu kelegaan buat pasukan yang sedang bergelut itu.
Kekal dengan dua pelumba Joan Mir dan Luca Marini musim depan, Honda turut melakukan beberapa perubahan antaranya menggaji Pengarah Teknikal baharu, Romano Albesiano selain menjadikan Aleix Espargaro sebagai pelumba ujian.
