CATALUNYA Bukan Pilihan - Marc Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/5/20241 min read


MARC Marquez berkata dia akan merasa lebih lega jika Litar Catalunya di Barcelona, Sepanyol tidak menjadi gelanggang pusingan terakhir MotoGP pada musim ini.
Begitupun, alasan utama pelumba Gresini Ducati itu untuk tidak berentap di venue berkenaan bukanlah disebabkan situasi bencana yang sedang melanda Sepanyol khususnya Valencia, tetapi disebabkan prestasinya di litar itu.
Terdahulu, Barcelona dicanang sebagai gelanggang gantian bagi pusingan penutup tirai MotoGP 2024 bagi menggantikan Litar Ricardo Tormo di Valencia yang rosak susulan banjir besar yang melanda daerah berkenaan.
Marquer pada GP Catalunya sebelum ini menamatkan perlumbaan di tempat ketiga sekalipun memulakan perlumbaan di petak ke-14 dan hanya pernah menang dua kali di litar itu sepanjang penampilannya dalam kelas utama sejak 2014.
"Tidak," kata Marquez ketika ditanya sama ada Litar Catalunya adalah litar yang bagus untuknya.
"Tetapi sini (Sepang) juga bukan trek yang bagus untuk saya, namun kami mampu untuk menjadi kompetitif.
"Sudah tentu saya lebih gemar litar lain, tetapi pada akahirnya ia adalah trek yang berada dalam kalendar, jadi kami akan cuba melakukan 100 peratus.
"Dan sudah tentu, kami akan mengharungi keadaan cuaca yang agak tidak menentu, kerana pada November, kamu tidak akan tahu."
Seperti di Barcelona, Marquez hanya menang dua kali di Sepang dalam kelas MotoGP iaitu pada tahun 2014 dan 2019 bersama Honda.
Begitupun, situasi semasa yang menyaksikan Barcelona turut dilanda banjir menyaksikan penganjur perlumbaan elit itu, Dorna berkemungkinan terpaksa mencari destinasi baharu.
