CATALUNYA Sah Jadi Lokasi Penutup Tirai MotoGP 2024
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/5/20241 min read


SEPERTI didedahkan lebih awal di Grand Prix (GP) Malaysia, Litar Catalunya, Barcelona, Sepanyol rasmi dinamakan sebagai gelanggang penutup tirai Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini.
Litar Catalunya menggantikan Litar Ricardo Tormo, Valencia yang sepatutnya menjadi destinasi pusingan ke-20 kejuaraan itu.
GP Valencia dibatalkan susulan bencana banjir besar yang melanda daerah itu yang bukan saja mengakibatkan kerosakan harta benda, malah nyawa.
Tiada perubahan tarikh diumumkan dengan perlumbaan kekal pada 15 hingga 17 November.
Berdasarkan situasi semasa, Sepanyol dijangka terus mengalami hujan lebat malah Barcelona turut berdepan masalah banjir beberapa hari sebelum ini.
Barcelona pada Mei lalu menganjurkan perlumbaan GP Catalan berkata perlumbaan itu "akan diadakan dalam solidariti dengan Komuniti Valencia."
Pusingan di Barcelona penting bagi penentuan kejuaraan dunia MotoGP yang membabitkan Jorge Martin dan Francesco Bagnaia.
Martin ketika ini memiliki kelebihan 24 mata berbanding Bagnaia.
Tidak seperti MotoGP, kejuaraan Moto3 dan Moto2 dilengkapkan lebih awal yang menyaksikan Ai Ogura dinobatkan juara di Thailand dan David Alonso di Jepun.
