CATATAN Di Sepang Menakjubkan, Tapi Ini Hanya Ujian - Pecco
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/8/20241 min read
SELEPAS dua hari 'berdiam diri', Francesco Bagnaia menunjukkan dia memang berpotensi untuk menjulang gelaran 'Trebel' juara dunia MotoGP dengan merekodkan catatan terpantas pada hari terakhir ujian rasmi pra-musim MotoGP di Sepang, hari ini.
Lebih menakjubkan, juara dunia dua kali berturut-turut itu (2022, 2023) melakukannya dengan bergaya selepas memecahkan rekod terpantas di Petronas SIC, 1 minit 56.682 saat (s).
Catatan yang dilakukan hampir 1 saat lebih pantas (0.809s) berbanding catatan terpantas di Sepang yang dilakukan pada GP Malaysia 2023 pada November lalu.
Berdepan kemalangan pada hari pertama dan sedikit bergelut pada hari kedua, semalam, pelumba dengan panggilan Pecco itu mengakui dia cukup selesa dengan jenteranya GP24, hari ini.
"Catatan masa yang saya lakukan ketika memburu catatan terpantas buat pertama kali pada musim ini menakjubkan, tetapi ini hanya ujian, dan keadaan pada hari ini sempurna," kata pelumba kelahiran Itali itu.
"Satu-satunya perkara yang saya tidak benar-benar puas dengan simulasi perlumbaan Sprint pada pagi ini adalah saya berdepan masalah kecil yang memperlahankan saya, tetapi ketika itu saya sudah pun memulakannya, dan saya tidak mahu kembali ke garaj dan meneruskannya hingga akhir."
Selain Bagnaia, tiga lagi pelumba Ducati turut berjaya melakukan catatan bawah 1 minit 57 saat termasuk pencabar utama kejuaraan musim lalu, Jorge Martin dari Pramac Ducati, rakan sepasukannya Enea Bastianini dan Alex Marquez.
"Apapun, kami menunjukkan potensi yang kami tahu dengan potensi jentera ini. Kami sudah bertambah baik dengan banyak dalam hanya tiga hari," kata Bagnaia.
"Kami masih belum 100 peratus, tetapi kami tidak begitu jauh. Saya boleh berkata kami akan berada pada tahap 80 peratus. Di Qatar, kami akan cuba pemetaan yang berbeza, tetapi programnya akan lebih atau sama kurang dengan di Sepang."