CFMOTO 1000SR-RR Sah Buat Penampilan Di Malaysia!

Jentera berprestasi tinggi CFMOTO 1000SR-RR yang membuat debut di pentas EICMA pada tahun lalu dijangka akan dipamerkan ketika acara Malaysia Bike Show 2026 yang dijadualkan berlangsung pada bulan Mei ini

TERKINI

3/28/20261 min read

CFMOTO Malaysia sempena CFMoto Day 2026 di China mengumumkan perkembangan menarik apabila mengesahkan model 'Superbike' pertama jenama itu, CFMOTO 1000SR-RR akan membuat penampilan di Malaysia.

Bukan sekadar kata-kata kosong, info berkenaan dikongsikan menerusi satu hantaran laman Facebook rasmi CFMoto Malaysia.

"CFMOTO 1000SR-RR akan tiba di Malaysia. Bersedia. Hanya dari CFMOTO Malaysia," tulis hantaran itu.

Dijangkakan, jentera berprestasi tinggi berkenaan yang membuat penampilan sulungnya di EICMA pada tahun lalu akan dipamerkan ketika acara Malaysia Bike Show 2026 yang dijadualkan berlangsung pada bulan Mei depan.

Sekalipun pesifikasi terperinci bagi pasaran tempatan masih dirahsiakan, CFMOTO 1000SR-RR dijangka tampil dengan spesifikasi perlumbaan yang radikal.

Dari aspek trenkuasa, jentera ini dijangka dipacu oleh enjin bentangan V4 berkapasiti 1,000 cc serba baharu yang dibangunkan oleh CFMoto dan disasarkan mampu menghamburkan kuasa melebihi 200 Hp.

Selain kuasa yang buas, rekaan CFMoto 1000SR-RR dipercayai mengambil inspirasi secara terus daripada jentera lumba di kejuaraan Grand Prix.

Ia menampilkan profil aerodinamik yang sangat agresif, garisan badan tajam, serta dilengkapi dengan winglet pada bahagian fairing sisi bagi memberikan daya 'downforce' maksimum dan kestabilan ketika memecut pada kelajuan tinggi.

Sebagai model 'flagship' CFMoto, CFMoto 1000SR-RR juga pastinya bakal disematkan dengan pakej elektronik terkini serta komponen mekanikal premium bertaraf dunia, termasuk sistem suspensi dan brek spesifikasi litar.