CFMOTO 1000V4 SR-RR Diuji Bakal Pelumba MotoGP
Meskipun CFMoto 1000V4 SR-RR dijangka akan akan ditawarkan kepada pasaran awam pada masa akan datang, pemerhati industri melihat wujud agenda yang lebih besar di sebalik pembangunannya, khususnya dalam arena perlumbaan kompetitif
TERKINI
9/28/20261 min read


PENGELUAR motosikal China, CFMoto membawa barisan pelumba bintangnya di Moto2 dan Moto3 untuk menguji jentera 'Superbike' yang masih berstatus prototaip, CFMoto 1000V4 SR-RR yang dikatakan mampu mencapai kelajuan melebihi 315 km/j.
Menerusi video yang dikongsikan di laman sosial, jentera yang masih disalut pelekat penyamaran itu ditunggang uji pelumba Moto2, Dani Holgado, David Alonso dan pelumba Moto3, Maximo Quilles yang beraksi bersama pasukan CFMoto Aspar.
Seperti diketahui, CFMoto 1000V4 SR-RR dikatakan berjaya merekodkan kelajuan maksimum 315.82 km/j pada musim panas lalu dan ia secara rasmi menjadikannya motosikal enjin pembakaran dalaman buatan China yang terpantas dalam sejarah.
Sebagai gambaran betapa lajunya jentera ini, ia hanya kira-kira 52 km/j lebih perlahan berbanding rekod kelajuan tertinggi sepanjang zaman MotoGP yang dicatatkan oleh pelumba MotoGP pasukan Aprilia, Jorge Martin pada awal tahun ini.
Meskipun CFMoto 1000V4 SR-RR dijangka akan akan ditawarkan kepada pasaran awam pada masa akan datang, pemerhati industri melihat wujud agenda yang lebih besar di sebalik pembangunannya, khususnya dalam arena perlumbaan kompetitif.
Dipadankan dengan enjin 997 cc, V4, CFMoto 1000V4 SR-RR dipercayai sedang dipersiapkan untuk membawa cabaran CFMoto ke kancah Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK). Jika ia direalisasikan, CFMoto bakal melakar sejarah epik sebagai pengeluar China pertama yang beraksi di kelas perdana kejuaraan berprestij itu.
Apapun, bukan rahsia CFMoto menyimpan impian besar untuk melangkah lebih jauh daripada sekadar bersaing di kelas Moto2 dan Moto3 malah sebelum ini, timbul khabar angin yang mengaitkan kemasukan mereka ke saingan MotoGP apabila era enjin 850 cc bermula pada 2027.
Begitupun, laluan ke MotoGP dilihat agak mustahil buat masa ini dengan rakan industri, KTM, kini berada dalam kedudukan kewangan yang stabil.
Malah, KTM baru sahaja memeterai perjanjian komersial pengeluar bersama Ducati, Aprilia, Honda, dan Yamaha, yang mengikat hanya 5 jenama untuk kekal di grid MotoGP bagi tempoh 5 tahun akan datang.
Justeru, penampilan di pentas WorldSBK dilihat sebagai sasaran yang paling logik dan realistik buat 'raksasa' V4 dari China ini.

