CFMOTO 1250TR-G (2024) Debut Pasaran Malaysia, Kedua Selepas China, RM 88.9k!

PELANCARAN

1/11/20242 min read

CFMOTO Malaysia membuat kejutan dengan melancarkan motosikal yang memiliki kapasiti enjin terbesar jenama itu dalam segmen 'Grand tourer' CFMOTO 1250TR-G (2024), hari ini di pasaran Malaysia.

Apa yang lebih menarik dan membanggakan, Malaysia adalah destinasi kedua CFMOTO 1250TR-G (2024) di pasaran global mengikuti pelancaran dan pengenalannya sebelum ini di China.

Ditawarkan dalam dua pilihan warna - Nebula White dan Twilight Blue - harga yang diumumkan untuk motosikal berkuasa dan berteknologi tinggi ini adalah RM 88,888 (asas) tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

Sebagai motosikal yang diposisi dalam segmen 'Grand tourer', CFMOTO 1250TR-G (2024) dipadankan dengan pelbagai teknologi canggih, komponen premium yang berupaya memberikan keselesaan dan tunggangan mewah.

Bermula di bahagian trenkuasa, motosikal ini dikuasakan dengan enjin bersesaran 1,279 cc, V-Twin yang berupaya menghasilkan kuasa maksimum 140 Hp pada 8,5000 rpm dan tork 120 Nm pada 7,000 rpm.

Di bahagian teknologi, ia dipadankan dengan panel meter instrumen TFT dengan Multi Media Interface (MMI) bersaiz 12.3 inci dengan operasi mesra pengguna lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit menerusi Bluetooth.

Setiap tetapan boleh dilakukan menerusi butang di bahagian bar hendal dan lebih menarik, ia turut dipadankan dengan sistem bunyi berteknologi tinggi yang memberikan pengalaman dan tunggangan yang mengasyikkans eperti pencabarnya yang lain antaranya dari Honda dan BMW Motorrad.

Cukup sesuai untuk mereka yang gemarkan aktiviti pengembaraan jarak jauh, antara ciri moden lain adalah seperti penggunaan sistem kunci pintar dan Kawalan Jelajah dan 'Quickshifter' 'Up-down'.

Menggunakan sistem elektronik 'Throttle', tersedia untuk CFMOTO 1250TR-G (2024) adalah 3 mod tunggangan iaitu Sport, Comfort dan Rain. Dan seperti biasa, setiap mod tunggangan memiliki pemetaan yang tersendiri dan memberikan pengalaman tersendiri bergantung kepada situasi atau permukaan jalan.

Untuk keselamatan optimum, sistem brek hadapan menggunakan cakera berkembar bersaiz 320 mm yang dipadankan dengan kaliper Brembo (depan) dan cakera tunggal 270 mm pada brek belakang juga dengan kaliper Brembo.

Seperti dijangka, sistem brek itu lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi saluran. Dan seperti motosikal moden lain, ia turut dilengkapi dengan sistem pemantau tekanan tayar (TPMS).

Mengulas sistem suspensi, sistem yang dipadankan kepada CFMOTO 1250TR-G (2024) juga tidak mengecewakan iaitu fork jenis USD jenama Marzocchi dengan ciri pelarasan dengan suspensi belakang turut datang dengan ciri pelarasan.

Ciri-ciri menarik lain termasuklah dua port pengecas USB-C selain soket 12V, Sistem lampu LED penuh termasuk lampu siang (DRL), pemanas grip hendal dan pelana serta lengkap dengan kotal 'Pannier'.

Dengan berat 304 kg, CFMOTO 1250TR-G (2024) dipadankan dengan kapasiti tangki bahan api bersaiz 22.7 liter.

Menurut CFMOTO Malaysia, syarikat itu sudah pun melakukan sesi ujian yang komprehensif termasuk ketahanan terhadap CFMOTO 1250TR-G (2024) dengan jarak keseluruhan sejauh 50,000 km sebelum ia memasuki pasaran.

Kepada yang berminat, CFMOTO 1250TR-G (2024) boleh mula didapati di mana-mana pengedar sah CFMOTO di seluruh Malaysia bermula minggu depan.

Seperti biasa, setiap pembelian CFMOTO 1250TR-G (2024) datang dengan tawaran jaminan perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh CFMOTO Malaysia.