CFMOTO 250 Dual Lite (2026) Rasmi Di Malaysia, RM 9,888!

Seperti diumumkan sebelum ini, CFMoto 250 Dual Lite (2026) menjadi model pertama yang dilancarkan di bawah edaran MForce Bike pada tahun ini

PELANCARAN

2/1/20261 min read

CFMOTO Malaysia membuka tirai 2026 menerusi pelancaran motosikal lasak CFMoto 250 Dual Lite (2026) yang tampil bersama harga jualan cukup mengujakan RM 9,888 (asas).

Seperti diumumkan sebelum ini, CFMoto 250 Dual Lite (2026) menjadi model pertama yang dilancarkan di bawah edaran MForce Bike pada tahun ini.

Tiga piihan warna tersedia iaitu:

  • Tundra Grey

  • Lime Green

  • Polar White

Tampil dengan rekaan dan kemampuan lasak 'scrambler', kehadiran CFMoto 250 Dual Lite (2026) boleh dikatakan mengejutkan terutama membabitkan harga dan spesifikasi yang ditawarkan pengeluar gergasi China itu.

Di bahagian trenkuasa, CFMoto 250 Dual Lite (2026) dipadankan dengan enjin 249 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api (Fi), SOHC bersama transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa dihamburkan pada angka 24 Hp pada 8,000 rpm dan tork 22.5 Nm pada 7,000 rpm.

Apa yang menarik, sekali pun tiba dengan harga 'rahmah' di bawah RM 10k, CFMoto 250 Dual Lite (2026) hadir dengan spesifikasi menarik termasuk Fi dan memiliki Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) meskipun memiliki varian tanpa ciri berkenaan.

Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) dengan jarak gerak 160 mm (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang).

Brek pula dijana cakera tunggal bersaiz 265 mm (depan) dan cakera 220 mm (belakang) serta memiliki sistem ABS dwi-saluran.

Antara ciri moden yang ditawarkan termasuk paparan meter digital, lampu hadapan dan belakang LED, port pengecasan USB Type-A serta suis keselamatan tongkat sisi.

Perincian lain:

  • Set roda 80/100-21 (depan) 120/80-18 (belakang) dengan rim jejari, tayar jenis dual purpose

  • Tangki bahan api 13 liter

  • Tinggi pelana 840 mm

  • Lega bumi 245 mm

  • Berat 154 kg

Sudah mula berada di pasaran dengan setiap pembelian boleh menikmati jaminan perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh CFMOTO Malaysia.