CFMOTO 450 CL-C (2024) Tiba Di Filipina, Malaysia Destinasi Seterusnya?
TERKINI
12/8/20231 min read
CFMOTO, baru-baru ini melancarkan motosikal bergaya 'Kruiser' terbaharunya, CFMOTO 450 CL-C (2024) di pasaran negara jiran Filipina.
Dijual pada harga P287,900 (RM 24,323), Filipina menjadi destinasi kedua untuk CFMOTO 450 CL-C (2024) selepas debut global di negara 'asalnya' China.
Dari sudut rekaan, CFMOTO 450 CL-C (2024) tampak mengambil inspirasi daripada jenama yang sinonim dengan gaya British seperti Triumph dan Royal Enfield.
Di bahagian trenkuasa, CFMOTO 450 CL-C (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 449 cc, 2 Silinder Parallel-Twin, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihamburkan adalah 40 Hp pada 8,000 rpm dengan tork 41 Nm pada 6,250 rpm.
Bersaing dalam 'Liga' yang sama dengan model seperti Honda Rebel 500 dan model terbaharu Kawasaki Eliminator 400, seperti biasa antara kekuatan adalah spesifikasi yang dianggap premium.
Tidak seperti Rebel 500 dan Eliminator 400, fork depan CFMOTO 450 CL-C (2024) menggunakan jenis terbalik (USD) yang digandingkan dengan penyerap hentak tunggal (belakang) yang didakwa mampu memberikan pengendalian terbaik.
CFMOTO 450 CL-C (2024) di pasaran Filipina turut datang dengan sistem Kawalan Traksi, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran dan panel meter jenis TFT berwarna.
Antara yang turut unik adalah padanan set roda dengan roda depan menggunakan saiz 130/90-R16 manakala belakang 150/80-R16.
Sistem brek menggunakan cakera tunggal bersaiz 320 mm (depan) dan cakera tunggal 220 mm belakang.
Ciri-ciri moden dan informasi lain termasuklah sistem lampu LED penuh, ketinggian pelana 690 mm, berat 181 kg dan kapasitu tangki bahan api 17.1 liter.