CFMOTO 450MT (2024) Buat Penampilan Rasmi Di Itali, Agresif + Moden!

TERKINI

11/16/20231 min read

CFMOTO, seperti kebanyakan syarikat pengeluar lain tidak melepaskan peluang menayangkan model terbaharunya ketika EICMA 2023 dan antara yang menarik perhatian adalah CFMOTO 450MT (2024).

Seperti namanya yang memiliki huruf 'MT', CFMOTO 450MT (2024) adalah motosikal yang diposisikan dalam kategori lasak atau 'Adventure' dan menariknya, ringan.

Dan seperti dijangka, apa yang membuatkan ia menonjol di Itali adalah rekaan yang cukup menarik menerusi penampilannya yang agresif dan moden (rujuk gambar).

Menjana trenkuasa CFMOTO 450MT (2024) adalah enjin bersesaran 449.5 cc, 2 Silinder Parallel-Twin, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah 42.4 Hp pada 8,500 rpm dan tork 44 Nm pada 6,250 rpm.

Dipadankan dengan kerangka 'Steel tube', sistem suspensi CFMOTO 450MT (2024) dijana fork jenis terbalik (USD) 41 mm dari KYB dan penyerap hentak tunggal juga dari KYB (belakang).

Kuasa membrek dijana brek cakera tunggal bersaiz 320 mm dengan kaliper J.Juan 4 Piston (depan) dan cakera tunggal bersaiz 240 mm kaliper 1 Piston (belakang).

Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran dari Bosch datang secara standard dan boleh dinyahaktifkan. Sebegai motosikal lasak, ia turut dipadankan dengan Kawalan Traksi.

Seperti motosikal lasak lain, CFMOTO 450MT (2024) dipadankan dengan rim jenis jejari (Spoked) bersaiz 21 inci (depan) dan 18 inci belakang.

Tak mahu ketinggalan berbanding motosikal moden lain, CFMOTO 450MT (2024) dipadankan dengan panel meter TFT berwarna bersaiz 5 inci yang lengkap dengan sambungan ke telefon pintar.

Ciri-ciri menarik dan informasi penting lain termasuklah sistem lampu LED penuh, penyecas USB-C pantas, kapasiti tangki bahan api 21 liter dengan ketinggian pelana 820 mm (Standard) 795 mm (Low Seat).

Dijadual mula memasuki pasaran global tahun depan, CFMOTO 450MT (2024) menurut sumber juga dijangka menjadi antara model yang bakal dibawa masuk CFMOTO Malaysia.