CFMOTO 450MT (2024) Kini Di Malaysia, 2 Varian, Bermula RM 28.9k!
PELANCARAN
5/22/20241 min read
CFMOTO 450MT (2024), motosikal yang diposisikan dalam segmen 'Adventure touring' dan hangat diperkatakan secara rasmi dijual di pasaran Malaysia bersama harga pengenalan menarik, RM 28,888 (asas).
Dilancarkan sempena acara Malaysia Autoshow 2024 di Maeps, Serdang yang sedang berlangsung, dua varian CFMOTO 450MT (2024) ditawarkan di pasaran tempatan iaitu Standard dan versi CFMOTO 450MT-X (2024).
Bersama tanda 'X', ia datang dengan kelengkapan aksesori 'Top box' dan Pannier dan diperkenalkan pada harga RM 30,888 (asas).
Seperti biasa, harga yang diumumkan adalah disyorkan pengeluar, tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.
Kedua-dua varian ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Tundra Grey dan Zephyr Blue.
Sedikit mengecewakan, kedua-dua varian ditawarkan dengan 'mud guard' depan dengan 'paruh panjang' dan bukannya pendek seperti di pasaran global.
Mengulas trenkuasa, CFMoto 450MT (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 449 cc, 2 Silinder Parallel-Twin, 270 Darjah Crank yang menariknya turut dikongsi barisan model 450 CFMoto sedia ada.
Dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual, ia menghasilkan kuasa setinggi 47 Hp pada 8,500 rpm dan tork 44 Nm pada 6,250 rpm.
Selain dipadankan dengan trenkuasa yang dilabel meyakinkan, apa yang menarik perhatian adalah rekaan CFMoto 450MT yang dianggap menarik, ranggi dan berorentasikan kelasakan.
Dengan berat hanya 175 kg, ia turut dipadankan dengan rim jenis jejari 21 inci (depan) dan 17 inci (belakang) dan lengkap dengan pelbagai ciri menarik dan moden lain.
Selain CFMOTO 450MT dan CFMOTO 450MT-X (2024), CFMOTO turut melancarkan dua model yang dipadankan dengan enjin berkapasiti 450 cc iaitu CFMOTO 450NK (2024) dan CFMOTO CL-C 450 (2024).
Untuk CFMOTO 450NK (2024) yang diposisi dalam segmen 'Naked', harga jualan yang diumumkan adalah RM 25,888 (asas).
Pilihan warna yang ditawarkan pula adalah dua iaitu Nebula White dan Zephyr Blue.
Manakala untuk CFMOTO CL-C 450 (2024) yang bersaing dalam segmen 'Kruiser', harga jualannya juga sama iaitu RM 25,888 (asas) dan ditawarkan dalam dua pilihan warna, Nebula Black dan Bordeaux Red.
Kepada yang berminat dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenai CFMOTO 450MT, CFMOTO 450MT-X, CFMOTO 450NK atau CFMOTO CL-C 450 (2024), anda boleh mengunjungi Malaysia Autoshow 2024 yang sedang berlangsung ketika ini.