CFMOTO 450MT Dijadual Debut Pasaran Malaysia Mei ini, Harga Bawah RM 30k?

TERKINI

3/13/20241 min read

CFMOTO memilih Asia Tenggara, lebih tepat Filipina untuk pelancaran global model 'Adventure touring' terbaharunya, CFMoto 450MT (2024) pada 21 Mac ini.

Membuat kemunculan sulung di Pameran Motosikal Milan (EICMA) tahun lalu, ramai yang dikatakan teruja dengan motosikal yang boleh dikatakan 'adik' kepada CFMoto 800MT yang cukup popular di pasaran ketika ini - termasuk Malaysia.

Dan berikutan pelancarannya di negara jiran Filipina pada bulan ini, ramai yang tertanya-tanya bilakah kehadiran rasmi motosikal berkenaan di pasaran tempatan.

Berdasarkan sumber yang diperoleh, CFMoto Malaysia dikatakan memilih salah satu acara automotif terbesar negara untuk pelancaran CFMoto 450MT (2024).

Justeru jika tepat, ia berkemungkinan besar akan dilancarkan pada Mei depan bersempena acara berkenaan yang bukan saja membabitkan kenderaan dua roda, malah empat roda.

Untuk persoalan mengenai harga jualannya, ia dikatakan tidak akan melebihi angka RM 30k. Dan ia sememangnya tampak tepat apabila sudah ada pengedar jenama berkenaan di pasaran tempatan membuka tempahan sambil menayangkan harga jualannya di laman jual beli popular.

Mengulas ringkas spesifikasi CFMoto 450MT, ia dipadankan dengan enjin bersesaran 449 cc, 2 Silinder Parallel-Twin, 270 Darjah Crank yang turut dikongsi barisan model 450 CFMoto sedia ada.

Dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual, ia menghasilkan kuasa setinggi 47 Hp pada 8,500 rpm dan tork 44 Nm pada 6,250 rpm.

Selain dipadankan dengan trenkuasa yang dianggap meyakinkan, apa yang meningkatkan daya tarikan CFMoto 450MT adalah rekaannya yang dianggap menarik, ranggi dan berorentasikan kelasakan.

Sebagai info, CFMoto 450MT sebenarnya sudah pun dilancarkan di pasaran Amerika Syarikat (AS) namun menggunakan nama berlainan iaitu CFMoto 450.

Dan sebagai perbandingan mengenai harga jualannya, ia dijual pada angka $ 6,499 (RM 30,469) di AS.