CFMOTO 450NK (2023) Debut Di Filipina, RM 21.4k, Petanda Makin Hampir Ke Malaysia?

TERKINI

8/15/20231 min read

SELEPAS 'debut' di pasaran China pada Jun lalu, CFMoto melancarkan motosikal 'Naked' terbaharunya, CFMoto 450NK (2023), baru-baru ini di pasaran negara serantau Asia Tenggara, Filipina.

Tiba sebagai model pengganti kepada CFMoto 400NK yang juga popular di rantau ini, CFMoto 450NK (2023) tampil dengan rekaan serba baharu, moden selain naik taraf elektronik serta prestasi yang dinanti-nantikan.

Apa yang menarik, pelancaran CFMoto 450NK (2023) yang dilakukan oleh CFMoto Filipina itu diberikan 'tag' sebagai 'Pelancaran Global' motosikal berkenaan oleh pihak CFMoto.

Tiga pilihan warna ditawarkan di pasaran Filipina iaitu:

  • Zephyr Blue

  • Nebula Black

  • Nebula White

Dan angka harga yang ditawarkan untuk motosikal yang tampil dengan rekaan serba moden dan 'segar' ini adalah 262,800 PHP (RM 21,448).

Kepada yang tak tahu, CFMoto 450NK boleh dikatakan 'saudara' dekat kepada model 'Fairing' penuh, CFMoto 450 SR yang diperkenalkan awal 2023 dan sudah pun membuat penampilan di Malaysia.

Mengulas trenkuasa, motosikal ini dijana enjin bersesaran 449.3 cc, 2 Silinder, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap dengan klac 'Slipper'.

Kuasa yang dihamburkan adalah pada angka 49.6 Hp pada 9,500 rpm dan tork 39 Nm pada 7,600 rpm.

Menurut CFMoto, motosikal ini mempunyai keupayaan untuk 'diperah' sehingga ke kelajuan 180 km/j.

Menggunakan frem keluli tubular dan swingarm aluminium, motosikal yang tampil dengan sistem Kawalan Traksi (TCS) ini dipadankan dengan sistem suspensi fork jenis terbalik (USD) depan dan penyerap hentak tunggal (belakang).

Tugas menghentikan motosikal dijana brek cakera tunggal 320 mm dengan kaliper J.Juan 4 piston (depan), dan cakera tunggal 220 mm (belakang). Ia turut dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Informasi penting lain adalah seperti berikut:

  • Tangki bahan api 14 liter

  • Berat 'kerb' 165 kg

  • Tinggi pelana 795 mm/785 mm/815 mm

  • Set roda 110/70-17 (depan), 150/60-17(belakang)

  • Sistem lampu LED penuh

  • Panel meter TFT berwarna lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit dan navigasi

Menurut laporan, CFMoto Malaysia akan turut melancarkan CFMoto 450NK tetapi tarikhnya masih belum diketahui. Dan pelancaran di Filipina ini turut memberi makna ia sudah hampir.