CFMOTO 450SR, ST Papio XO (2023) kini Di Seberang, Harga RM 44.8k, RM 10.1k!

10/20/20231 min read

MENGIKUTI kehadirannya di Malaysia, syarikat pengedar CFMoto di Indonesia, PT. MForce Indonesia melancarkan dua model terbaharu jenama itu, CFMoto 450SR dan CFMoto ST Papio XO (2023) di negara berkenaan.

Sebagai info, PT. MForce Indonesia adalah anak syarikat kepada MForce Bike Holdings Sdn Bhd yang bertanggungjawab membawa masuk pelbagai jenama motosikal di Malaysia.

Diperkenalkan secara rasmi di pasaran dunia di Turki pada Mac lalu, CFMoto 450SR (2023) adalah motosikal dalam segmen 'Sportbike' yang memiliki rekaan dan spesifikasi cukup menarik.

Di pasaran Malaysia, ia turut dilancarkan pada bulan yang sama dan dijual pada harga asas RM 28.8k.

Tetapi di Indonesia, harga jualan yang diumumkan untuk CFMoto 450SR (2023) adalah Rp. 148.8 juta atau RM 44,831 (mengikut kadr tukaran mata wang semasa).

Mengulas ringkas spesifikasi trenkuasa CFMoto 450SR (2023), ia dipadankan dengan enjin bersesaran 449.3, 2 Silinder, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, DOHC bersama transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap dengan klac Slipper. Kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 49.6 Hp pada 9,500 rpm dan tork 40.7 Nm pada 7,600 rpm.

Untuk CFMoto Papio ST Papio XO (2023), pihak MForce Indonesia mengumumkan harga jualan yang kurang 'seram' iaitu Rp. 33.8 juta (RM 10,183).

Di Malaysia, harga jualan yang diumumkan oleh pihak CFMOto Malaysia untuk motosikal bergenre 'mini' dengan perwatakan menarik 'neo cafe race' ini adalah RM 8.9k (asas).

Tiba sebagai model 'mini', CFMoto XO Papio (2023) dijana enjin 125 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 5 kelajuan klac manual. Kuasa yang dihamburkan adalah 9.5 Hp pada 8,500 rpm dan tork 8.3 Nm pada 6,500 rpm.

Untuk menambahkan tarikan terhadap kedua-dua model baharu ini, pihak MForce Indonesia turut menawarkan pakej promosi menarik dengan setiap pembelian akan menerima helmet percuma.

Sekalipun angka harga jualan kedua-duanya kelihatan agak tinggi, ia begitupun jauh lebih rendah berbanding pencabarnya yang lain di Indonesia terutama dari jenama Jepun.