CFMOTO 500SR Debut Di China, RM 16.9k, Malaysia Menyusul?
CFMoto 500SR menjadi antara model 'Sportbike' terbaharu daripada CFMoto yang tampil dengan padanan DNA perlumbaan siri 'SR' keluaran jenama itu dan lebih menarik dipadankan dengan enjin 4 Silinder Sebaris
TERKINI
4/2/20261 min read


PENGELUAR motosikal terkemuka China, CFMoto, baru-baru ini melancarkan model Sportbike menarik yang dipacu enjin 4 Silinder Sebaris terbaharunya, CFMoto 500SR untuk pasaran negara itu yang berlangsung sempena dengan acara tahunan CFMoto Day 2026.
Seperti diketahui, CFMoto Day adalah acara yang memberi penekanan kepada prestasi jentera dan kemajuan teknologi jenama itu dengan CFMoto 500SR menjadi antara model terbaharu yang dipadankan dengan DNA perlumbaan siri 'SR' keluarannya.
Apa yang menarik, CFMoto 500SR yang sebelum ini membuat kemunculan di EICMA tahun lalu ditawarkan pada harga yang sangat kompetitif untuk pasaran di negara tembok besar itu, iaitu RMB 28,980 (kira-kira RM 16.9k).
Daya tarikan utama CFMoto 500SR pastinya terletak pada trenkuasa yang dijana enjin 500 cc, 4 Silinder Sebaris dan dikatakan mampu menghamburkan kuasa 77.7 Hp padada 12,500 rpm dan tork 49 Nm pada 10,000 rpm.
Dari aspek rekaan visual, model ini mengekalkan rekaan keluarga 'SR' CFMOTO yang agresif dan tajam hasil sentuhan pasukan reka bentuk dari Itali.
Ia diserlahkan lagi dengan rekaan lampu hadapan yang unik dan sistem ekzos yang menonjol.
Seiring trend teknologi masa kini, CFMoto 500SR turut didatangkan dengan panel meter TFT yang menyokong sambungan ke telefon pntar menerusi ciri 'screen mirroring', selain sistem pengesanan lokasi motosikal.
Selain itu, ia turut dilengkapi port pengecasan pantas yang mesra untuk pemasangan kamera aksi.
Dan persoalannya ada kemungkinan CFMoto 500SR 'datang' ke Malaysia? Maklumat yang kami peroleh setakat ini amat memberangsangkan.





