CFMOTO 500SR Didedahkan, Ini 'Saudara' CFMoto 500SR Voom Yang Lagi Garang!

CFMoto 500SR berkongsi casis dan nadi mekanikal yang sama dengan Voom. Ia dikuasakan oleh enjin 499 cc, 4 Silinder Sebaris, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api bersama transmisi 6 kelajuan klac manual

TERKINI

3/9/20261 min read

SEJAK CFMoto 500SR Voom, 'Sportbike' dengan rekaan neo-retro memasuki pasaran - termasuk di Malaysia - ramai tertanya-tanya mengapa syarikat pengeluar motosikal China itu tidak mengeluar versi yang lebih 'garang' dan selari dengan keluar 'SR' yang lain seperti 450SR dan 675SR-R.

Dan persoalan itu akhirnya terjawab apabila motosikal yang dipacu enjin 4 Silinder Sebaris itu yang dikenali CFMoto 500SR akhirnya terdedah secara rasmi menerusi dokumen Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) yang diterbitkan di China, baru-baru ini.

Berdasarkan dokumen kelulusan VTA itu, CFMoto 500SR berkongsi casis dan nadi mekanikal yang sama dengan Voom. Ia dikuasakan oleh enjin 499 cc, 4 Silinder Sebaris, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api bersama transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa pula dijangka sama iaitu 78 Hp pada 12,500 rpm dan tork 48.8 Nm pada 10,000 rpm.

Dan memandangnya ia 'mirip' Voom, ciri seperti Quicksifter juga berkemungkinan datang secara standard.

Sekali pun berkongsi banyak komponen sama, apa yang menarik CFMoto 500SR lebih ringan iaitu sekitar 186 kilogram (kg) berbanding 500SR Voom (194 kg).

Ciri-ciri menarik lain seperti pengunaan fork USD, brek cakera berkember (depan), lampu LED penuh dan banyak lagi. Kepada yang masih ingat, CFMoto pada tahun 2023 mendedahkan beberapa model 'Sportbike' konsep antaranya 500SR yang lengkap dengan pelekat penyamaran berwarna biru.

Apa yang pasti, dokumen VTA beserta imej prototaip di China kini memberi petanda kukuh jentera empat silinder yang disasarkan untuk memberi saingan kepada Kawasaki Ninja ZX-4R, QJMotor SRK450RR ini sudah bersedia sepenuhnya untuk fasa pengeluaran besar-besaran.

Dan berikutan pencabarnya memang sudah ada di pasaran Malaysia, rasanya pihak CFMoto Malaysia dan MForce Bike tidak akan menunggu masa lama untuk membawanya masuk.