CFMOTO 500SR Rasmi Masuk Pasaran Malaysia, RM 29,988!

Persaingan dalam segmen 'Sportsbike' pertengahan di pasaran Malaysia terus panas apabila CFMOTO Malaysia melancarkan jagoannya CFMoto 500SR (2026), model yang akan bersaing dengan beberapa model popular antaranya ZXMoto 500RR

PELANCARAN

10/30/20261 min read

CFMOTO menghangatkan persaingan dalam segmen 'Sportsbike' pertengahan di pasaran Malaysia apabila melancarkan jagoannya CFMoto 500SR (2026) yang ditawarkan pada harga cukup kompetitif, RM 29,988 (asas).

Dua pilihan warna tersedia untuk model yang menjadi salah satu pencabar ZXMoto 500RR itu tersedia iaitu Galaxy Grey dan Nebula White.

Memacu CFMoto 500SR adalah enjin bersesaran 500 cc, 4 Silinder Sebaris, Penyejukan Cecair, Suntikan Bahan Api elektronik Bosch DOHC yang dipadankan dengan sistem transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap dengan klac 'Slipper'.

Kuasa yang dihamburkan sebesar 77 Hp pada 12,500 rpm dan tork 49 Nm pada 10,000 rpm dan lebih mengujakan, kuasa ini mampu melonjak kepada 81 Hp apabila sistem kemasukan Ram Air diaktifkan.

Dari aspek pengendalian, CFMoto 500SR menggunakan kerangka tiub keluli yang disokong suspensi fork jenis terbalik (USD) 41 mm (depan) dan penyerap hentak belakang tunggal (belakang) dan kedua-dua suspensi mempunyai ciri pelarasan.

Kuasa henti pula dijana cakera berkembar 300 mm bersama angkup Nissin 4 Silinder (depan) dan cakera tungal 220 mm (belakang) lengkap dengan ABS dwi-saluran dengan ABS roda belakang dimatikan.

Selain itu, ia turut memiliki sistem Kawalan Cengkaman (2 tahap), 'steering damper' boleh laras, dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).

Panel meter menggunakan skrin TFT berwarna bersaiz 6.2 inci yang dilengkapi ciri MotoPlay. Ia juga sarat dengan spesifikasi premium seperti quickshifter (naik gear sahaja), pemanas genggam 5 tahap, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) dan port pengecasan USB.

Info

  • Tinggi pelana 790/795 mm

  • Tangki bahan api 15.5 liter

  • Berat 192 kg

Seperti biasa, setiap pembelian disokong jaminan pengeluar selama 2 tahun atau 20,000 kilometer (km).