CFMOTO 500SR Voom (2024) Kini Di Malaysia, Enjin 4 Silinder Sebaris, RM 35.8k!
PELANCARAN
10/20/20241 min read


CFMOTO Malaysia tidak menunggu lama untuk membawa masuk penawaran terbaharunya yang mungkin boleh dilabel antara paling unik dan dipadankan dengan enjin 4 Silinder Sebaris, CFMOTO 500SR Voom (2024) ke pasaran tempatan.
Apa yang menarik, CFMOTO 500SR Voom (2024) yang diposisikan dalam segmen 'Sportbike' hanya memerlukan tempoh beberapa bulan untuk tiba selepas membuat debut globalnya tahun ini di pasaran China.
Lebih menarik, harga yang jualan yang diumumkan oleh CFMOTO Malaysia juga cukup mengujakan iaitu RM 35,888 (asas), tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.
Dilancarkan sempena pembukaan pusat jualan terbaharu CFMOTO Flagship Store di Semenyih, Selangor, dua pilihan warna ditawarkan untuk CFMoto Voom 500SR (2024) iaitu Zephyr Blue dan Nebula White.
Sebagai permulaan, apa yang membuatkan CFMOTO 500SR Voom (2024) mengujakan adalah di bahagian trenkuasanya.
Dijana enjin bersesaran 499 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, Suntikan Bahan Api, Penyejukl Cecair, DOHC, ia adalah enjin yang dibangunkan sendiri oleh CFMOTO dan mengeluarkan bunyi yang 'sedap' didengar.
Digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan lengkap 'Slipper' klac, kuasa yang dihamburkan juga adalah 'sihat' iaitu 78 Hp pada 12,500 rpm dan tork 49 Nm pada 10,000 rpm.
Selain bahagian trenkuasa, apa yang menarik adalah rekaan.
Tidak seperti model-model CFMOTO yang menggunakan nama 'SR' lain seperti CFMOTO 250SR dan CFMoto 450SR, CFMOTO 500SR Voom (2024) tampil dengan rekaan agak berbeza dan mungkin unik.
Dengan rekaan 'fairing' yang mendapat inspirasi model-model era-90an dari jenama Jepun, apa yang unik adalah rekaan lampu siang (DRL) berbentuk bulat yang berkemungkinan dianggap sebagai lampu utama.
Selain berfungsi sebagai lampu DRL, ia turut berfungsi sebagai lubang angin atau 'air scoop'.
Berikutan itu, ia mungkin nampak seperti watak kartun mirip model 'fun' jenama itu Papio namun dengan tambahan gaya retro dan lebih gagah.
Tetapi jangan terpedaya dengan reka bentuknya, CFMOTO 500SR Voom (2024) berdasarkan katalognya dikatakan mampu mencapai kelajuan tertinggi sehingga 220 km/j.
Antara ciri-ciri menarik dilengkapi CFMOTO 500SR Voom (2024) adalah 'Traction Control', mod tunggangan (2), panel meter TFT berwarna dengan sambungan ke telefon pintar, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan pelbagai lagi.
Sebelum Malaysia, CFMOTO 500SR Voom (2024) sudah memasuki pasaran negara jiran, Indonesia dan harga jualan yang diumumkan adalah RM 54k.
















