CFMOTO 675 SR-R (2024) Kini Di Malaysia, Asas RM 37.9k!
PELANCARAN
11/1/20241 min read
CFMOTO Malaysia mengumumkan satu lagi model yang boleh dianggap menarik untuk pasaran tempatan menerusi pelancaran 'Sportbike' yang dipaju enjin tiga silinder sebaris, CFMOTO 675 SR-R (2024), hari ini.
Membuat kemunculan sempena pelancaran pusat pameran CFMOTO Flagship Store terbaharu di Sepang yang dikendalikan Sendayan Motor, harga yang diumumkan untuk CFMOTO 675 SR-R (2024) adalah RM 37,888 (asas).
Dua pilihan warna ditawarkan iaitu Nebula White dan Nebula Black.
Tampil dengan rekaan yang cukup sporty dengan acuan CFMOTO, antara menarik pastinya penggunaan winglet yang dikatakan meningkatkan ciri aerodinamiknya.
Selain itu, penampilannya tambah menarik apabila turut dilengkapi dilengkapi komponen penyejukan brek pada roda hadapan yang nampak cukup canggih.
Di bahagian trenkuasa, CFMOTO 675SR-R (2024) dijana enjin tiga silinder 674 cc, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC bersama transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap klac Assist & Slipper yang menyaksikannya mempunyai 'bunyi enjin' yang cukup menarik.
Angka kuasa yang dihamburkan pula adalah 95 Hp pada 11,000 rpm dan tork 70 Nm pada 8,250 rpm.
Lebih mengujakan, CFMOTO mendakwa CFMOTO 675 SR-R ini dikatakan mampu mencapai kelajuan maksimum sekitar 250 km/j.
Selain menghamburkan kuasa yang bertenaga, turut melengkapi motosikal ini adalah pelbagai ciri-ciri menarik dan premium antaranya Kawalan Traksi dan ‘quickshifter’.
Sistem brek menggunakan cakera kembar 300 mm dengan kaliper 4-piston J.Juan (depan), cakera tunggal 240 mm kaliper piston tunggal (belakang) lengkap Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).
Suspensi pula menggunakan fork USD dan penyerap hentak tunggal dari KYB dengan ciri pelarasan penuh.
Ciri-ciri menarik adalah seperti penggunaan swingarm aluminium, panel meter TFT, sistem lampu LED penuh termasuk lampu siang (DRL).
Info lain pula adalah seperti berikut:
Kapasiti tangki bahan api 15 liter
Tinggi pelana 810 mm
Set roda 120/70-17 (depan), 180/55-17 (belakang).
Berat 195 kg
Soket pengecas USB Type-C dan Type-A