CFMOTO 675NK (2025), 'Kembar' 675 SR-R Tiba Di Malaysia, Asas RM 34k!
CFMOTO Malaysia memperkenalkan penawarannya di pasaran tempatan menerusi pengenalan model 'Naked' berprestasi, CFMoto 675NK (2025) - model menarik yang dipadankan dengan enjin 3 Silinder Sebaris dengan harga asas RM 34k
PELANCARAN
6/21/20251 min read


CFMOTO Malaysia terus meningkatkan penawarannya di pasaran tempatan menerusi pengenalan model 'Naked' berprestasi, CFMoto 675NK (2025) - model menarik yang dipadankan dengan enjin 3 Silinder Sebaris, hari ini.
Apa yang mengujakan, kehadiran CFMoto 675NK (2025) di pasaran Malaysia boleh dikatakan cukup pantas iaitu kurang setahun selepas ia diperkenalkan di peringkat global di pertunjukkan EICMA 2024 di Milan, Itali pada November lalu.
Sebelum pergi lebih jauh, harga yang diumumkan CFMoto 675NK (2025) untuk pasaran tempatan cukup menarik iaitu RM 33,888 (tak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran).
Dua pilihan warna ditawarkan.
Glacier White
Tundra Grey
Dari sudut penampilan, CFMoto 675NK (2025) tampil rekaan agresif bergaya 'Streetfighter' selari dengan model-model generasi baharu CFMoto yang memperlihatkan kematangan jenama China itu khususnya dari sudut rekaan.
Mengulas trenkuasa, CFMoto 675NK (2025) adalah enjin bersesaran 675 cc, 3 Silinder Sebaris, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap dengan 'Slipper Clutch' dan 'Quickshifter'.
Kuasa yang dihasilkan adalah 88 Hp @ 11,000 rpm dengan tork 70 Nm @ 8,250 rpm.
Di bahagian suspensi, ia dipadankan dengan fork jenis terbalik KYB 41 mm dan penyerap hentak tunggal juga dari KYB dengan ciri pelarasan (preload & rebound).
Bagi kawalan brek yang meyakinkan, CFMoto 675NK dilengkapi dengan brek cakera berkembar bersaiz 300 mm dengan kaliper 4 Piston dari J.Juan dan cakera tunggal 240 mm dengan kaliper Piston tunggal.
Seperti biasa, ia dilengkapi dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.
CFMoto 675NK (2025) begitupun tidak memiliki mod tunggangan tetapi memiliki dua tetapan Kawalan Cengkaman (TCS), T-Box 4G untuk kemas kini OTA (Over-the-Air) dan TPMS (Pemantauan tekanan tayar).
Paparan panel meter menggunakan skrin TFT 5 inci warna penuh dengan ciri sambungan ke telefon bimbit menerusi Bluetooth dan menyokong aplikasi CFMOTO Ride App.
Informasi lain adalah seperti berikut:
Port pengecas USB Type-A dan Type-C
Kapasiti tangki bahan api 15 liter
Tinggi pelana 810 mm
Jarak lega bumi 140 mm
Set roda 120/70-17 (depan), 180/55-17 (belakang)
Berat kering 189 kg














