CFMOTO 675SR-R World Champion Edition, Cara CFMoto Rai Maximo Quiles!

Majlis pengenalan jentera istimewa yang turut meraikan kejayaan pasukan CFMOTO Aspar Team merangkul gelaran keseluruhan kategori pasukan disempurnakan di atas pentas utama dan turut dihadiri bos pasukan itu, Jorge 'Aspar' Martínez

TERKINI

11/12/20261 min read

PENGELUAR motosikal China, CFMOTO menggunakan pentas pameran EICMA 2026 di Itali untuk mendedahkan model istimewa CFMoto 675SR-R World Champion Edition, jentera pameran eksklusif bagi meraikan kejayaan pelumbanya, Maximo Quiles yang merangkul gelaran dunia Moto3 musim ini.

Majlis pengenalan jentera istimewa yang turut meraikan kejayaan pasukan CFMOTO Aspar Team merangkul gelaran keseluruhan kategori pasukan disempurnakan di atas pentas utama dan turut dihadiri bos pasukan itu, Jorge 'Aspar' Martínez.

Seperti diketahui, kemenangan Quiles pada Grand Prix (GP) Indonesia di Litar Mandalika pada Oktober lalu, sekali gus memuktamadkan gelaran keseluruhan kategori pelumba Moto3 tatkala musim 2026 masih berbaki 5 perlumbaan.

Kejayaan itu juga menandakan kejuaraan Moto3 kedua buat pasukan CFMOTO Aspar Team dalam tempoh 3 musim (selepas kejayaan David Alonso pada 2024), selain melengkapkan rekod cemerlang jenama itu yang kini mengumpul lebih 100 penamat podium dalam kelas Moto3 dan Moto2.

Sebagai penghormatan, CFMOTO 675SR-R World Champion ini diserlahkan dengan kemasan grafik perlumbaan eksklusif yang membawa identiti pasukan CFMOTO Aspar, pelekat khusus kejuaraan, tandatangan juara dunia itu, serta padanan aksesori tulen daripada CFMOTO.

Dibina berasaskan model 'Sportbike' 3 Silinder 675SR-R sedia ada, jentera ini dikuasakan oleh enjin bersesaran 675 cc yang mampu menjana 66 kW pada 11,000 rpm dan tork 68 Nm pada 8,250 rpm.

Bagi menawarkan tunggangan berprestasi tinggi, jentera seberat 189 kilogram (kg) ini didatangkan standard dengan sistem ampaian KYB, penukar gear pantas (quickshifter), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran, serta sistem kawalan cengkaman boleh laras 2 tahap.

Sebagai info, CFMoto 675SR-R akan terus diuji di litar kompetitif apabila ia dipilih secara rasmi sebagai jentera tunggal bagi saingan Kejuaraan Dunia Wanita FIM bermula musim 2027.