CFMOTO 700MT (2025) Mendarat Di Malaysia, RM 33.9k!

PELANCARAN

3/20/20251 min read

CFMOTO Malaysia, hari ini merasmikan penawaran terbaharunya dalam segmen 'Adventure touring' di pasaran tempatan yang boleh dianggap mengujakan, CFMOTO 700MT (2025).

Tidak seperti versi sebelum ini, CFMOTO 700MT (2025) tampil dengan rekaan serba baharu yang cukup mirip model 'abangnya' yang terlebih dulu menerjah pasaran, CFMOTO 800MT.

Seperti biasa, harga yang diumumkan untuk motosikal berkenaan cukup menarik iaitu RM 33,888, tidak termasuk cukai jalan dan insuran.

Dua pilihan warna menarik diperkenalkan iaitu:

  • Nebula Black

  • Nebula White

Selain rekaan yang menarik dan garang, CFMOTO mendakwa CFMOTO 700MT mampu memberikan kepuasan tunggangan yang luar biasa tidak kira di laluan off-road mahupun on-road.

Memacu motosikal ini adalah enjin bersesaran 693 cc, 2 Silinder, 4 Lejang, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap klac 'Slipper'.

Kuasa dihamburkan adalah sebesar 67 Hp pada 9,500 rpm dan tork 60 Nm pada 6,000 rpm.

Info lain adalah seperti berikut:

  • Set roda 110/80-19 (depan), 150/70 R17 (belakang)

  • Tinggi pelana 800 mm

  • Jarak lega bumi 190 mm

  • Panel meter TFT 5 inci lengkap ciri sambungan telefon bimbit

  • Port pengecasan USB Type-A dan Type-C

  • Visor angin boleh laras manual

  • Tangki bahan api 20 liter

  • Ada fungsi TPMS (Sistem Pemantauan Tekanan Tayar)

  • Emergency Stop Signal (ESS)

Turut menarik adalah kotak sisi (pannier) dan ruang simpanan belakang (top box) yang masing-masing memiliki kapasiti 35 liter dan 45 liter.

Antara ciri menarik yang melengkapi CFMOTO 700MT adalah fungsi Upshift Alert yang berperanan memberikan amaran kepada penunggang apabila perlu menukar gear ke atas (upshift) yang dikatakan membantu mengoptimumkan prestasi enjin.

Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbaik (USD) dan penyerap hentak tunggal (belakang) dengan ciri boleh laras.

Sistem brek dijana brek cakera berkembar dengan kaliper 8 Piston (depan) dan brek cakera tunggal dengan kaliper satu piston dengan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Apa yang menarik, sistem ABS pada bahagian tayar belakang boleh dinyahaktifkan dengan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) juga boleh ditetapkan untuk aktif atau tidak bergantung kepada mod tunggangan penunggang.

Kepada yang berminat, CFMOTO 700MT (2025) sudah pun mendarat di cawangan pengedar sah sah CFMOTO Malaysia.

Seperti biasa, setiap pembelian datang dengan jaminan pengeluar iaitu perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun.