CFMOTO 750SR-S (2026) Mendarat Di Malaysia RM 41,888!

Sejak membuat kemunculan di peringkat global sekitar Julai tahun lalu, CFMoto 750SR-S yang diposisi dalam segmen 'Sportbike' yang dipacu enjin 4 Silinder Sebaris menjadi antara model yang dinanti-nantikan termasuk di Malaysia

PELANCARAN

6/6/20262 min read

CFMOTO Malaysia merasmikan kehadiran salah satu jentera 'Sportbike' paling berkuasa dan canggih dalam katalognya ke pasaran tempatan - CFMoto 750SR-S (2026) sempena acara MotoXperience di Malaysia Bike Show (MBS) 2026.

Sejak membuat kemunculan di peringkat global sekitar Julai tahun lalu, CFMoto 750SR-S menjadi antara model yang dinanti-nantikan termasuk di Malaysia.

Apa tidaknya, CFMoto 750SR-S adalah model paling berkuasa jenama China itu yang menggunakan enjin 4 Silinder Sebaris setakat ini. Dan pelancarannya di MBS bermakna Malaysia antara terawal yang menerima model berkenaan.

Berbalik kepada pelancarannya, harga yang diumumkan MForce Bike untuk CFMoto 750SR-S (2026) juga boleh dikatakan menarik iaitu RM 41,888 (asas) tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Dari sudut penampilan, CFMoto 750SR-S hadir dengan rekaan unik dalam keluarga 'SR' yang membawa imej garang dan unik. Lebih menarik, ia turut dipadankan dengan lengan ayun jenis 'Single Swing Arm' yang kebiasaan digunakan jenama Eropah.

Ulas trenkuasa, CFMoto 750SR-S dipadankan dengan enjin 749 cc, 4 Silinder Sebaris, Penyejuk Cecair, Fi, DOHC dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap klac 'Slipper'.

Kuasa dihamburkan berada pada angka 110 Hp pada 10,250 rpm dan tork 80 Nm pada 9,000 rpm.

Berdasarkan maklumat yang diberikan CFMoto, 'Sportbike' ini dikatakan mampu mencapai kelajuan maksimum melebihi 230 km/j dengan pecutan 0-100 km/j sekitar 3.5 saat.

Dari sudut teknologi, CFMoto 750SR-S hadir dengan sistem kawalan elektronik canggih yang mengintegrasikan IMU enam paksi yang membolehkan fungsi ABS (Sistem Brek Anti-Kunci) dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) beroperasi dengan lebih tepat selain sistem pencahayaan pintar lampu bantuan membelok (cornering assistant light).

Segala maklumat pula boleh diakses menerusi panel meter TFT 6.2 inci yang menyokong ciri sambungan ke telefon pintar menerusi aplikasi CFMOTO Ride Connectivity.

Turut dipadankan adalah sistem 'emergency braking signal', 'tyre pressure monitoring system', 'Quickshifter' (up sahaja).

Untuk sistem membrek, CFMoto 750SR-S dipadankan dengan pakej premium berupa cakera berkembar 320 mm bersama kaliper Brembo 4 Piston (depan) dan cakera tunggal 240 mm dengan kaliper Brembo 2 Piston (belakang).

Sistem suspensi pula dijana fork jenis terbalik USD 43 mm daripada KYB dengan ciri boleh laras (preload dan rebound) dan penyerap hentak tunggal KYB juag dengan ciri boleh laras preload dan rebound.

Perincian lain:

  • Lampu LED penuh

  • Set roda 120/70-17 (depan) 180/55-17 (belakang)

  • pengecas USB Type-C/Type-A

  • Tinggi pelana 805 mm

  • Lega bumi 140 mm

  • Kapasiti tangki bahan api 17L

  • Berat 213 kg