CFMOTO 800MT Explore Edition (2024) Kini Di Malaysia, Lengkap Teknologi RDS, RM 57.8k!

PELANCARANSUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/22/20242 min read

CFMOTO Malaysia mengumumkan kehadiran versi dipertingkatkan untuk motosikal 'Adventure touring' popularnya, CFMOTO 800MT Explore Edition (2024), hari ini yang kini dilengkapi sistem 'Rear Radar Sensor' atau RDS.

Menurut CFMOTO, sistem RDS meningkatkan lagi ciri keselamatan CFMOTO 800MT Explore Edition (2024) dan menariknya, ia adalah model pertama daripada jenama China itu yang dipadankan dengan teknologi berkenaan.

Menerusi RDS, ia kini mempunyai keupayaan untuk mengesan titik buta daripada bahagian belakang motosikal yang sekaligus melancarkan penukaran lorong di jalan raya dengan selamat.

Selain RDS, peningkatan lain adalah penambahan dua lagi mod tunggangan iaitu Enduro dan Pro Riding yang menjadikan secara keseluruhan empat mod tunggangan.

Sebelum pergi lebih jauh, CFMOTO 800MT Explore Edition (2024) diumumkan pada harga jualan RM 57,800 (asas).

Seperti biasa, angka berkenaan tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Dua pilihan warna diperkenalkan yang didakwa CFMOTO Malaysia lebih elegan iaitu Gem Black dan Starry White.

Mengulas ringkas trenkuasa, CFMOTO 800MT Explore Edition (2024) kekal dengan padanan enjin bersesaran 799 cc, 2 Silinder Sebaris, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC.

Digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap klac 'Assist & Slipper', kuasa yang dihamburkan adalah 90 Hp pada 9,250 rpm dan tork 75 Nm pada 8,000 rpm.

Bahagian panel meter menggunakan skrin bersaiz 8 inci 'Multi Media Interface (MMI)' yang lengkap dengan ciri sambungan ke telefon bimbit serta teknologi navigasi.

Di bahagian suspensi, motosikal ini dipadankan dengan fork jenis terbalik (USD) daripada KYB dengan ciri pelarasan penuh dan penyerap hentak tunggal dengan pelarasan penuh.

Sistem brek pula dijana cakera berkembar bersaiz 320 mm dengan kaliper radial daripad J.Juan (depan) dan cakera tunggal 260 mm (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Turut tersedia adalah sistem Kawalan Traksi yang boleh dinyahaktif.

Untuk meningkatkan daya tarikan CFMOTO 800MT Explore Edition (2024), ia turut didatangkan dengan tiga bekas aluminun berwarna silver bersaiz 35 liter (kiri), 28 liter (kanan) dan 'top box' bersaiz 36 liter tahan lasak.

Informasi lain adalah seperti berikut:

  • Set roda: 110/80-19 (depan), 150/70-17 (belakang) dengan rim jenis jejari bersama tayar jenama Michelin.

  • Berat 231 kg

  • Tinggi pelana 825 mm

  • Tangki bahan api 19 liter

Seperti biasa, setiap pembelian CFMOTO 800MT Explore (2024) ditawarkan janinan perbatuan tanpa had selama dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian CFMOTO Malaysia.