CFMOTO 800MT-X (2025) Rasmi Di Malaysia, Lagi Lasak, RM 48.9k!

PELANCARAN

5/22/20252 min read

CFMOTO Malaysia terus meningkatkan penawarannya di pasaran tempatan apabila melancarkan satu lagi model dalam 'keluarga' MT, CFMOTO 800MT-X (2025), hari ini bersama angka jualan menarik, asas RM 48,888!

Dua pilihan warna ditawarkan iaitu:

  • Zephyr Blue

  • Nebula Black

Datang dengan tambahan nama 'X' atau 'Explorer', CFMOTO 800MT-X (2025) seperti boleh dijangka adalah model lebih lasak berbanding beberapa versi CFMOTO 800MT yang sudah diperkenalkan lebih awal.

Apa yang menarik, selain turut tampil dengan perubahan rekaan yang boleh dikatakan agak ketara berbanding model terdahulu, ia juga bukan saja dikatakan berkemampuan mengharungi laluan ‘off-road’ sejati.

Justeru, perubahan yang berlaku turut menyaksikan CFMOTO 800MT-X (2025) mengalami perubahan dari sudut dimensi terutama ketinggian pelana dan jarak lega bumi.

Mengulas perubahan di bahagian rekaan, sekali pun lampu depan yang agak sama dengan versi 800MT sedia ada, antara perubahan ketara adalah kedudukan tangki bahan api yang kini diposisikan di bahagian bawah kiri dan kanan dengan kapasiti lebih besar.

Bukan sekadar lebih besar berbanding versi sedia ada dengan kapasiti 22.5 liter, kedudukan tangki yang lebih rendah dikatakan memberikan kelebihan dari sudut kestabilan ketika menunggang di jalan lasak.

Perubahan ketara lain adalah seperti penggunaan ‘mudguard’ jenis 'muncung itik' yang memberikan penampilan lebih 'ganas'. Turut menarik perhatian terutama kepada 'geng' enduro adalah penggunaan rim 21 inci (depan) dan 18 inci (belakang).

Di bahagian trenkuasa, CFMOTO 800MT-X (2025) kekal dijana enjin bersesaran 799 cc, 2 Silinder Sebaris, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Seperti motosikal aras tinggi, ia turut memiliki ciri klac 'Slipper' dan sistem 'Quickshifter' dua hala.

Kuasa dihamburkan adalah 94 Hp @ 8,500 rpm dan tork 87 Nm @ 6,750 rpm.

Sistem suspensi juga dipertingkatkan menggunakan fork jenis terbalik (USD) 48 mm di depan dengan jarak travel lebih tinggi 200 mm berbanding 160 mm dan penyerap hentak tunggal (belakang) lengkap ciri pelarasan penuh.

Brek pula dijana cakera berkembar bersaiz 320 mm dengan kaliper J.Juan 4 Piston (depan) dan cakera tunggal 260 mm (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Seperti motosikal lain yang menggunakan ciri sistem 'ride by wire', CFMOTO 800MT-X (2025) memiliki pelbagai ciri elektronik menarik.

Antara yang tersedia adalah Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) boleh nyah aktif, tiga mod tunggangan iaitu 'Standard, Rain dan Off-Road' dan mungkin ciri paling digemari ramai, Sistem Kawalan Jelajah (Cruise Control).

Turut tersedia adalah Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS) dan Suis Keselamatan Tongkat Sisi (Side Stand Safety Switch).

Dalam pada itu, segala maklumat termasuk penetapan boleh diakses menggunakan butang dan panel meter TFT berwarna bersaiz 7 inci dengan paparan menegak.

Info penting lain adalah seperti berikut:

  • Tinggi pelana 830 mm

  • Jarak tinggi bumi 210 mm

  • Set roda 90/90-21 (depan), 150/70-18 (belakang)

  • Visor angin boleh laras manual

  • Sistem lampu LED penuh

  • Sistem Kunci Mekanikal

  • Port USB Type-A dan Type-C

  • Berat 220 kg

Lebih menarik, menurut CFMOTO, turut tersedia dengan pembelian CFMOTO 800MT-X (2025) adalah dua unit kotak sisi berkapasiti 35 liter dan satu kotak atas 45 liter.