CFMOTO 800NK (2023) Debut Pasaran Malaysia, RM 38.9k, 99.2 Hp, 81 Nm!

PELANCARAN

8/24/20232 min read

CFMOTO Malaysia, hari ini melancarkan salah satu model bergaya 'Naked' antara paling dinantikan daripada jenama itu di pasaran tempatan iaitu CFMOTO 800NK (2023).

Seperti dijangka, angka harga pengenalan yang diumumkan oleh CFMOTO Malaysia untuk CFMMOTO 800NK memang cukup menarik iaitu RM 38,888 (asas), tak termasuk insurans dan cukai Jalan.

Dua pilihan warna ditawarkan iaitu:

  • Zircon Black

  • Nebula White

Seperti 'kembarnya' dalam segmen 'Adventure Touring' CFMoto 800MT, antara kekuatan CFMOTO 800NK adalah dari sudut rekaannya yang cukup moden namun masih mengekalkan gaya agresif 'Street fighter'.

Sukar untuk menjelaskannya dengan perkataan kerana ia perkara yang subjektif, anda boleh nilainya dengan foto yang kami sediakan.

Di bahagian trenkusa, CFMOTO 800NK (2023) dijana enjin bersesaran 799 cc, Parallel-twin, 8 Injap, Penyejuk Cecair, DOHC yang dalam bahasa mudah enjin sama digunakan KTM 790 Duke.

Dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap dengan klac 'Slipper', kuasa yang dihasilkan adalah 99.2 Hp pada 9,500 rpm dan tork maksimum 81 Nm pada 8,000 rpm.

Seperti motosikal aras tinggi CFMOTO lain, CFMOTO 800NK (2023) datang dengan pelbagai ciri-ciri menarik termasuk memiliki 3 mod tunggangan yang mempunyai tetapan sendiri.

Ciri-ciri menarik lain termasuklah 'Quickshifter, panel meter TFT berwarna dengan sambungan ke telefon pintar bersaiz 'gempak' 8 inci dengan tetapan menerusi sentuhan skrin, navigasi dan sebagainya.

Di bahagian suspensi, motosikal ini menggunakan fork jenis terbalik (USD) depan dan penyerap hentak tunggal (Boleh laras depan/belakang), set brek cakera berkembar dengan kaliper J.Juan (depan) dan cakera tunggal (belakang) yang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Turut memiliki tiga mod tunggangan, CFMoto 800NK juga didakwa boleh 'diperah' hingga kelajuan 220 km/j.

Informasi lain adalah seperti berat 189 kg, tinggi pelana 795 mm dan sistem lampu LED penuh, set roda 120/60-17 (depan), 180/55-17 (belakang).

Turut dibekalkan dengan sistem kunci pintar, apa yang menarik ia bukan saja boleh digunakan untuk menghidup dan mematikan enjin, namun untuk membuka ruang simpanan dan tangki bahan api.

Kepada yang berminat, CFMOTO 800NK (2023) menurut CFMOTO Malaysia akan tiba di semua cawangan pengedar sah jenama itu di Malaysia dalam tempoh terdekat.

Dan kepada yang ingin melihatnya dengan lebih dekat, anda boleh mengunjungi pameran Kuala Lumpur Bike Show (KLBS) 2023 yang sedang berlangsung bermula hari ini sehingga 27 Ogos depan di WTC.