CFMoto 800NK (2023) Dijadual Masuk Malaysia, Pelancaran Katanya Di KLBS 2023?

TERKINI

8/23/20231 min read

TAK dapat dinafikan salah satu syarikat pengeluar motosikal paling aktif di pasaran Malaysia tahun ini adalah CFMoto. Selepas melancarkan beberapa model, jenama itu dijadual memperkenalkan satu lagi model hangat dan ditungu-tunggu dalam segmen 'Naked', CFMoto 800NK (2023).

Menariknya, pelancarannya dijadual dalam tempoh terdekat iaitu ketika acara Kuala Lumpur Bike Show (KLBS) 2023 yang bermula 24 hingga 27 Ogos ini di ibu negara.

Ia sekaligus menepis laporan sebelum ini yang menyatakan motosikal yang bersaudara dengan satu lagi model yang sedang hangat dalam segmen 'Adventure touring', CFMoto 800MT itu bakal menerjah pasaran pada awal tahun 2024.

Dan seperti tidak mahu berselindung, CFMoto Malaysia turut menyiarkan 'teaser' kehadiran model berkenaan di laman sosial rasminya yang menunjukkan 'siluet' motosikal berkenaan.

Sebagai permulaan dan kepada yang tak tahu, CFMoto yang juga antara syarikat pengeluar motosikal gergasi China. Dan menariknya, ia mempunyai hubungan perjanjian dengan KTM dari Austria bagi memastikan 'trenkuasa' dalam barisan modelnya berkualiti tinggi.

Seperti CFMoto 800MT, CFMoto 800NK akan menggunakan platform enjin KTM LC8C dan persaingannya bukan calang-calang yang turut dijual di pasaran tempatan.

Mengulas ringkas spesifikasi trenkuasa CFMoto 800NK, ia dijana enjin LC8 bersesaran 799 cc, Parallel-twin, enjin yang sama digunakan KTM 790 Duke. Kuasa yang dihasilkan adalah sekitar 99 Hp.

Di Eropah, versi standard CFMoto 800NK pada harga € 7,890 (RM 39,857) dan versi 'High End' yang dijual pada harga € 8,490 (RM 42,888).

Begitupun tanpa mengira versi, CFMoto 800NK akan memperoleh ciri seperti kunci pintar, sistem 'Quickshifter, panel meter TFT berwarna dengan sambungan ke telefon pintar secara standard.

Ciri-ciri menarik lain termasuklah penggunaan sistem suspensi boleh laras (depan/belakang), set brek cakera berkembar dengan kaliper J.Juan (depan) dan cakera tunggal (belakang) dan sistem lampu LED penuh.

Turut memiliki tiga mod tunggangan, CFMoto 800NK juga didakwa boleh 'diperah' hingga kelajuan 220 km/j.

Informasi lain adalah seperti berat 189 kg, tinggi pelana 795 mm, panel meter TFT berwarna 8 inci dengan konektiviti telefon pintar.