CFMOTO 800NK Lakar Sejarah Menang Anugerah Red Dot 2024

TERKINI

5/14/20241 min read

CFMOTO baru-baru melakar sejarah dengan memenangi anugerah berprestij membabitkan reka bentuk, Anugerah Red Dot 2024 menerusi motosikal 'Naked' CFMOTO 800 NK.

Untuk CFMOTO, anugerah yang diterima adalah yang pertama diraih syarikat pengeluar motosikal gergasi China berpangkalan di Hangzhou itu.

Seperti diketahui, CFMOTO 800NK direka oleh bahagian rekaan CFMOTO di Eropah yang berpusat di Itali dan diketuai oleh Pengarah Reka Bentuk 2 Roda CFMOTO, Carles Solsona.

"Untuk menang Anugerah Red Dot yang berprestij adalah kejayaan yang hebat untuk keseluruhan pasukan," kata Salsona.

"800NK adalah salah satu produk CFMOTO yang dihasilkan berdasarkan nilai teras jenama kami: reka bentuk, teknologi, prestasi.

"Pencapaian ini adalah cara terbaik untuk meraikan ulang tahun ke-35 syarikat kami, serta mengiktiraf komitmen dan pembangunan falsafah reka bentuk kami yang akan berada pasaran global."

Mengenai Anugerah Red Dot, ia diperkenalkan di Jerman pada 1954 dan menerima lebih daripada 20,000 penyertaan daripada 70 negar setiap tahun. Turut dilabel sebagai 'Oscar' dalam arena reka bentuk global, ia terkenal dengan kriteria pemilihan yang ketat dan adil.

Sebagai info, CFMMOTO 800NK memasuki pasaran Malaysia tahun lalu dan harga jualannya ketika diumumkan ketika perasmiannya adalah RM 38,888 (asas).

Mengulas ringkas trenkuasa, CFMOTO 800NK dijana enjin bersesaran 799 cc, Parallel-twin, 8 Injap, Penyejuk Cecair, DOHC yang dalam bahasa mudah enjin sama digunakan KTM 790 Duke.

Dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap dengan klac 'Slipper', kuasa yang dihasilkan adalah 99.2 Hp pada 9,500 rpm dan tork maksimum 81 Nm pada 8,000 rpm.

Seperti motosikal aras tinggi CFMOTO lain, CFMOTO 800NK memiliki pelbagai ciri-ciri terutama dari sudut elektronik dan sebagainya.

CFMOTO Malaysia pada Malaysia Autoshow tahun ini turut dijadualkan merasmikan beberapa model terbaharu untuk pasaran Malaysia.