CFMOTO Ambil Alih Majoriti Saham Kalex

Perolehan itu dibuat melalui anak syarikat CFMoto, Helmsmen Europe, dan menyaksikan struktur kepimpinan Kalex kini diketuai oleh Naib Presiden CFMoto, Zhiyong Chen bersama bekas ketua pembangunan enjin di KTM Sebastian Sekira, memetik laporan Sky Italia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/1/20261 min read

PENGELUAR motosikal gergasi China, CFMoto terus mengukuhkan posisinya dalam dunia perlumbaan global apabila mengumumkan pengambilalihan 51 peratus saham dalam syarikat kejuruteraan Jerman, Kalex, yang terkenal sebagai pembuat 'casis' untuk jentera Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia sejak 2010.

Perolehan itu dibuat melalui anak syarikat CFMoto, Helmsmen Europe, dan menyaksikan struktur kepimpinan Kalex kini diketuai oleh Naib Presiden CFMoto, Zhiyong Chen bersama bekas ketua pembangunan enjin di KTM Sebastian Sekira, memetik laporan Sky Italia.

Pengasas bersama Kalex, Alex Baumgartel dan Klaus Hirsekorn kini berkongsi baki 49 peratus saham secara sama rata.

Seperti diketahui, Kalex menjadi pembekal casis atau kerangka yang dominan di kelas Moto2 sejak kelas itu menggantikan kategori 250 cc dua-lejang pada 2010.

Selain Moto2, Kalex turut terbabit dalam pembuatan casis untuk jentera Moto3 dan pernah memberi khidmat perundingan teknikal kepada pasukan MotoGP, termasuk pembangunan rangka dan swingarm untuk RC213V antara 2022 dan 2024.

CFMoto mula muncul dalam kancah Moto2 pada 2024 apabila menjadi penaja utama kepada pasukan Aspar yang menggunakan casis Kalex.

Kerjasama awal itu menyaksikan beberapa kejayaan termasuk gelaran dunia Moto3 pada 2024 bersama David Alonso.

Dua pelumba pasukan itu semalam turut menaiki podium dalam kelas Moto2 menerusi Daniel Holgado (ke-3) dan dalam kelas Moto3 menerusi Maximo Quiles (ke-2).

Seperti diketahui, bukan rahsia CFMoto berminat untuk terbabit dalam kelas elit MotoGP dan pengambilalihan itu dilihat lebih berpotensi memberi impak dalam langkah syarikat itu ke kejuaraan itu pada masa depan.