CFMOTO, Brembo Jalin Kerjasama Strategik!

Selain pembangunan produk komersial, kolaborasi CFMOTO dan Brembo turut diperluaskan kepada aktiviti sukan permotoran termasuk pembabitan Brembo sebagai rakan strategik dalam Projek Bakat Perlumbaan CFMOTO

TERKINI

7/9/20261 min read

CFMOTO terus mengukuhkan kedudukannya di pasaran global apabila memeterai perjanjian strategik jangka panjang bersama pakar sistem brek global, Brembo.

Apa yang menarik, perjanjian yang dimuktamadkan melangkaui konsep hubungan pembekal alat ganti konvensional yang menyaksikan Brembo akan terbabit secara langsung pada fasa lebih awal dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Justeru, kedua-dua syarikat akan berganding bahu bermula dari reka bentuk konsep sistem brek, pembangunan prestasi, integrasi, penentukuran sehinggalah ke tahap pengesahan akhir.

Dan kerjasama strategik ini turut membuka ruang seluas-luasnya kepada penggunaan teknologi brek berprestasi tinggi yang diwarisi terus daripada litar lumba.

Selain pembangunan produk komersial, kolaborasi kedua-dua jenama gergasi ini turut diperluaskan kepada aktiviti sukan permotoran termasuk pembabitan Brembo sebagai rakan strategik dalam Projek Bakat Perlumbaan CFMOTO.

Ia amat bersesuaian dengan profil CFMOTO yang semakin aktif dalam saingan kejuaraan dunia dalam kelas Moto3 dan Moto2, manakala Brembo pula kekal utuh sebagai pembekal brek paling dominan di grid MotoGP.

CFMOTO berkata, kerjasama dengan Brembo membuktikan kesungguhan syarikat itu dalam usahanya beralih ke arah penghasilan motosikal bertaraf premium yang memiliki daya tarikan global yang lebih meluas.

Pembabitkan jenama dari Itali itu juga membuktikan betapa CFMOTO memandang serius aspek prestasi brek ketika jenama itu sedang agresif memperluaskan penawaran model dalam segmen kapasiti enjin yang lebih besar.

Untuk rekod, Kumpulan Brembo ketika ini bukan sahaja terkenal dengan jenama utamanya, malah turut menaungi pelbagai jenama komponen dan teknologi motosikal premium berkelas dunia termasuk ByBre, J.Juan, AP Racing, SBS Friction, Marchesini, dan jenama suspensi legenda, Öhlins.