CFMOTO Flagship Store JB (Rinting) Dirasmikan

CFMOTO Malaysia mengukuhkan kedudukan dalam pasaran Selatan Tanah Air apabila merasmikan pembukaan CFMOTO Flagship Store JD (Rinting) berstatus lengkap, ada khidmat jualan, alat ganti tulen dan ruang servis lengkap

TERKINI

10/17/20261 min read

CFMOTO Malaysia terus memperluas rangkaian operasinya di selatan tanah air menerusi pembukaan rasmi CFMOTO Flagship Store Johor Baharu (Rinting), hari ini.

Beralamat di Taman Rinting, Masai, JB, pusat kendalian Fook Yong Motor itu menjadi premis ke-2 jenama berkenaan di Johor dan cawangan 'Flagship Store' yang ke-12 dibuka di seluruh negara.

Menurut CFMoto Malaysia, perasmian CFMOTO Flagship Store Johor Baharu (Rinting) sekali gus mencerminkan komitmennya sebagai pengedar eksklusif jenama China itu dalam menyediakan perkhidmatan terbaik buat komuniti penunggang di Johor.

Sebagai pusat sehenti 3S (Jualan, Servis dan Alat Ganti), fasiliti moden ini bukan sahaja berperanan sebagai pusat pameran jajaran model terkini CFMOTO, malah dilengkapi dengan dua ruang 'service bay' yang diselia oleh juruteknik terlatih.

Selain menawarkan kemudahan servis berkala dan jualan alat ganti tulen, premis berkenaan turut melengkapkan ekosistem gaya hidup bermotosikal dengan menyediakan seleksi aksesori menunggang yang luas.

Ini termasuk jenama kelengkapan menunggang antarabangsa, LS2 serta kotak simpanan barangan jenama YHPro.

Langkah agresif CFMOTO memperluas rangkaian pengedaran di Johor ini dilihat bertepatan dengan peningkatan populariti jenama itu di pasaran tempatan di bawah naungan pengedar rasminya di Malaysia, Mforce Bike Holdings Sdn Bhd.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, CFMOTO dilihat berjaya memikat hati peminat motosikal tempatan menerusi penawaran jentera yang menggabungkan rekaan moden Eropah, teknologi termaju serta harga yang sangat kompetitif.

Antara model yang dijangka menjadi tumpuan di bilik pameran termasuklah penawaran terbaharu, CFMoto 1000 MT-X dan CFMoto 750SR-S.

Bagi mereka yang berminat untuk melihat lebih dekat barisan model terbaharu atau mendapatkan khidmat rundingan, CFMOTO Flagship Store JB (Rinting) beralamat di No 17-19, Jalan Sena 2, Taman Rinting, 81750 Masai, Johor.