CFMOTO Flagship Store Johor Bahru Dirasmikan, Ke-5 Di Malaysia!
PELANCARAN
12/29/20241 min read


CFMOTO Malaysia merasmikan pusat pameran dan jualan berstatus serba lengkap 'Flagship' kelima jenama itu di Malaysia menerusi CFMOTO Flagship Store Johor Bahru.
Selain kelima di Malaysia, CFMOTO Flagship Store Johor Bahru yang dikendalikan oleh pemain terkemuka dalam perniagaan jualan motosikal tempatan, TR Motorworld Sdn Bhd adalah yang pertama di Johor.
Seperti pusat pameran berstatus 'flagship' lain, CFMOTO Flagship Store Johor Bahru mempunyai empat tingkat dengan keluasan kira-kira 7,000 kaki persegi.
Dan sebagai pusat yang serba lengkap, ia turut memiliki ruang pameran yang komprehensif, pusat servis, pembelian alat ganti, aksesori, khidmat pelanggan dan tempat istirehat yang berhawa dingin.
Menurut CFMOTO Malaysia, selain wakil jualan yang ramah, pusat servis dan baik pulihnya turut terdiri daripada mekanik yang terlatih.
Selain produk daripada CFMOTO, satu bahagian di pusat berkenaan turut menempatkan pusat pameran dan jualan jenama skuter elektrik jenama itu, ZEEHO.
Apa yang menarik, ia adalah pusat pameran dan jualan khas untuk ZEEHO pertama di Malaysia.
Kepada yang berminat untuk mencuci mata melihat produk terbaharu CFMOTO di Malaysia, lokasi CFMOTO Flagship Store Johor Bahru adalah di No1A, 1, Jalan Cemperai, Kampung Baru Pandan, 81100 Johor Bahru, Johor Darul Ta'zim.












