CFMOTO Ganti Yamaha Bekal Jentera Rasmi WorldWCR Musim 2027
WSBK menjelaskan perjanjian baharu itu menyaksikan model 'Sportbike' CFMOTO 675SR-R akan mengambil alih peranan yang ketika ini digalas oleh jentera Yamaha R7 sebagai jentera perlumbaan rasmi WorldWCR
SUKAN PERMOTORAN 2 RODATERKINI
10/15/20261 min read


KEJUARAAN Superbike Wanita Dunia FIM (WorldWCR) bakal melalui perubahan membabitkan jentera perlumbaan apabila pengeluar China, CFMOTO dipilih sebagai pembekal jentera eksklusif bagi kejuaraan itu untuk tempoh tiga musim bermula 2027 hingga 2029 menggantikan Yamaha.
Menurut penganjur WSBK, perjanjian baharu itu menyaksikan model 'Sportbika' CFMOTO 675SR-R akan mengambil alih peranan yang ketika ini digalas oleh jentera Yamaha R7 sebagai jentera perlumbaan rasmi WorldWCR.
Dari sudut mekanikal, CFMOTO 675SR-R ini dipacu oleh enjin bersesaran 675 cc dengan konfigurasi 3 Silinder Sebaris yang menghamburkan kuasa lebih tinggi.
Dan ia dijangka mampu menghamburkan kuasa sekitar 15 Hp lebih tinggi berbanding jentera Yamaha R7 yang digunakan pada masa ini.
Selain kelebihan kuasa kuda, nadi 3 Silinder itu juga bakal menawarkan corak penyampaian kuasa yang berbeza berbanding platform 2 Silinder sekali gus menjanjikan cabaran dan dinamik tunggangan baharu buat barisan pelumba di litar.
Sebagai rekod, sejak diperkenalkan pada 2024, WorldWCR menggunakan format perlumbaan pengeluar tunggal yang menyaksikan semua pelumba bersaing menggunakan spesifikasi jentera yang sama bagi memberi penekanan mutlak kepada bakat dan kemahiran individu.
Bagi CFMOTO, kerjasama terbaharu ini melambangkan satu lagi pencapaian signifikan dalam usaha mereka untuk terus memperluaskan penguasaan dan pengaruh jenama itu di pentas sukan permotoran antarabangsa bertaraf elit.
Syarikat automotif gergasi itu sememangnya tidak asing dalam sukan permotoran apabila melakar kejayaan dalam saingan Moto3 dan Moto2 menerusi kerjasama padu bersama pasukan CFMOTO Aspar Team.
Langkah berani menembusi grid WorldWCR ini juga dilihat sebagai isyarat awal sebelum CFMOTO melangkah ke kelas perdana WorldSBK, apatah lagi Presiden FIM, Jorge Viegas baru-baru ini meninjau sendiri projek rahsia WorldSBK yang sedang dibangunkan oleh pengeluar berkenaan.

