CFMOTO Malaysia Tayang Imej 450MT, Petanda Penantian Tak Lama?

TERKINI

1/26/20241 min read

CFMOTO mencipta teruja ramai peminatnya termasuk di Malaysia dengan memperkenalkan penawaran terbaharunya dalam segmen 'Adventure touring', CFMoto 450MT (2024) di Eicma tahun lalu.

Seperti namanya, CFMoto 450MT boleh dikatakan 'adik' kepada CFMoto 800MT yang cukup popular di pasaran ketika ini.

Tidak seperti 800MT, CFMoto 450MT dipadankan dengan enjin bersesaran 449 cc, 2 Silinder Parallel-Twin, 270 Darjah Crank yang turut dikongsi barisan model 450 CFMoto sedia ada.

Dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual, ia menghasilkan kuasa setinggi 47 Hp pada 8,500 rpm dan tork 44 Nm pada 6,250 rpm.

Selain dipadankan dengan trenkuasa yang dianggap meyakinkan, apa yang menarik perhatian adalah rekaan CFMoto 450MT yang dianggap menarik, ranggi dan berorentasikan kelasakan.

Dengan berat hanya 175 kg, ia turut dipadankan dengan rim jenis jejari 21 inci (depan) dan 17 inci (belakang) dan lengkap dengan pelbagai ciri menarik dan moden lain.

Baru saja melancarkan penawaran terbaharunya CFMoto 1250 TR-G, baru-baru ini di pasaran tempatan, pihak CFMoto Malaysia sekali lagi membuat 'onar' dengan menayangkan imej CFMoto 450MT di laman sosial rasminya.

Apa yang menarik, CFMoto Malaysia berdasarkan penelitian tidak menayangkan model-model yang tidak dijual di pasaran tempatan di laman rasmi media sosialnya sebelum ini.

Justeru, hantaran berkenaan pantas mendapat perhatian terutama kepada peminat jenama China itu selain mencetus persoalan atau petanda kehadirannya di pasaran tempatan mungkin tidak lama.

Ketika Eicma 2023 lalu, CFMoto menjangkakan motosikal berkenaan akan mula menerjah pasaran pada suku pertama 2024.

Dan di pasaran yang katanya menjadi 'kubu kuat' CFMoto di rantau ini, Filipina, CFMoto 450MT dijangka akan tiba pada separuh pertama 2024.

Tiada maklumat rasmi daripada CFMoto Malaysia setakat ini tetapi berdasarkan maklumat, syarikat itu tidak mahu menunggu lama untuk memperkenalkan model yang mampu 'hits'.

Dan seperti biasa, harga yang ditawarkan dijangka memang menarik. Sama-sama kita nantikan.