CFMOTO Rasmi Sertai IOMTT, Senaraikan CFMoto 675SR-R!

Penyertaan CFMOTO di IOMTT disifatkan sangat signifikan dalam dunia pemotoran kerana ia adalah kali pertama sebuah jentera keluaran China, serta gah membawa logo jenama negara itu, akan menawan laluan mencabar Mountain Course sejauh 60.7 kilometer

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/28/20261 min read

CFMOTO nampaknya cukup serius dengan projek perlumbaannya dan pengeluar China itu bakal mencipta sejarah tersendiri apabila sah akan membuat penampilan sulung secara rasmi pada perlumbaan 'litar jalanan' yang layak dilabel paling berbahaya di dunia, Isle of Man TT (IOMTT) tahun ini.

Penampilan yang dinanti-nantikan itu bakal menyaksikan CFMoto mempertaruhkan jentera kelas pertengahannya, CFMoto 675SR-R yang dikuasakan enjin 3 Silinder, untuk bersaing dalam kategori baharu yang diperkenalkan iaitu Sportbike.

Penyertaan ini disifatkan sangat signifikan dalam dunia pemotoran kerana ia adalah kali pertama sebuah jentera yang direka di China, serta gah membawa logo rasmi jenama negara itu, akan menawan laluan mencabar Mountain Course sejauh 60.7 kilometer.

Apa yang pasti, kelas Sportbike yang julung kali dipertandingkan pada saingan IOMTT edisi kali ini akan menjadi pentas ujian getir buat CFMoto 675SR-R untuk bersaing dengan model nama besar lain seperti Triumph Daytona 660 dan Yamaha R7.

Bagi menggalas tugas itu, CFMoto menjalinkan kerjasama strategik dengan pasukan Moto Twelve Racing, sebuah pasukan yang merekodkan aksi cemerlang dan berjaya dalam kelas Sportbike di Kejuaraan Superbike British (BSB).

Begitupun, perlumbaan di jalanan IOMTT menjanjikan cabaran dan risiko yang berbeza berbanding litar bertutup seperti BSB, sekali gus menuntut kemahiran luar biasa penunggang untuk mengendalikan jentera berkenaan.

Sebelum ini, hala tuju sukan pemotoran CFMoto menjadi bualan hangat selepas jenama itu mendedahkan jentera konsep V4 SR-RR di pameran EICMA tahun lalu, yang turut mencetuskan spekulasi penyertaan mereka ke saingan MotoGP atau Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK).

Tetapi keputusan jenama itu untuk melebarkan sayap ke perlumbaan jalan raya berprestij ini, dan bukannya sekadar memfokuskan kepada litar tradisional, nyata memberi kejutan besar buat peminatnya.