CFMOTO Terus Garang, Lancar Pesaing HD X500, CFMOTO 450CL-C (2023) di China

TERKINI

9/5/20231 min read

SYARIKAT pengeluar motosikal gergasi China, CFMoto meneruskan 'serangannya' ke atas pasaran motosikal global dan kali ini melancarkan motosikal dalam segmen kruiser aras tengah, CFMoto 450CL-C (2023).

Seperti biasa, debut motosikal yang dikatakan bakal memberi saingan kepada model terbaharu antaranya Harley-Davidson X500 (2023) itu membuat debut di pasaran China.

Tampil dengan rekaan tipikal kruiser atau 'easy rider', CFMoto 450CL-C (2023) perlu diakui memiliki rekaan retro moden yang menarik. (Lihat pada imej).

Dan perlu diakui, ia memang tak nampak seperti motosikal murah, sama seperti model-model terbaharu jenama itu termasuk yang baru menerjah pasaran tempatan, CFMoto 800NK (2023).

Dari sudut trenkuasa, CFMoto 450CL-C (2023) memanfaatkan platform sedia ada jenama itu antaranya CFMoto 450NK iaitu enjin bersesaran 449 cc, Parallel-Twin, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihasilkan adalah 40 Hp pada 8,000 rpm dan tork 42 Nm pada 6,250 rpm.

Dan seperti motosikal moden lain, turut databng secara standard adalah klac 'Assist & Slipper' serta sistem Kawalan Traksi.

Di bahagian suspensi, motosikal ini menggunakan fork jenis terbalik (USD) 37 mm dan penyerap hentak tunggal (belakang). Sistem brek menggunakan cakera tunggal dengan kaliper J-Juan (depan, belakang) yang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran.

Informasi lain adalah seperti penggunaan sistem lampu LED penuh, ekzos jenis dual, berat 'kerb' 181 kg, panel meter gabungan analog dan TFT bulat 3.6 inci lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit, kapasiti tangki bahan api 12 liter dan tinggi pelana 690 mm.

Tak diketahui sama ada CFMoto Malaysia merancang untuk membawa masuk CFMoTo 450CL-C (2023) ke pasaran tempatan tetapi melihat kepada tahap 'agresif' mereka ketika ini, ia mungkin tak memakan masa yang lama.