CFMOTO V4-SR RR Catat Kelajuan 315.82 km/j, Cipta Rekod!

Pencapaian CFMOTO itu melakar sejarah baharu dalam industri automotif China apabila CFMOTO V4-SR RR kini diiktiraf sebagai motosikal pembakaran dalaman (ICE) terpantas yang pernah dihasilkan dari negara Tembok Besar

TERKINI

6/16/20261 min read

PENGELUAR motosikal terkemuka China, CFMOTO melakar sejarah baharu dalam industri automotif negara itu apabila model superbike terbaharunya, CFMOTO V4-SR RR, diiktiraf sebagai motosikal pembakaran dalaman (ICE) terpantas yang pernah dihasilkan dari China.

Jentera berprestasi tinggi yang masih lagi berstatus prototaip itu direkodkan berjaya mencatatkan kelajuan maksimum mencecah 315.82 kilometer sejam (km/j).

Angka luar biasa ini bukan sahaja cukup pantas untuk memecahkan rekod domestik, malah ia membuktikan keupayaan kejuruteraan automotif negara Tembok Besar itu kini berada pada liga kelajuan ekstrem yang setanding dengan jenama gergasi antarabangsa.

CFMOTO menerusi kenyataan rasmi menyifatkan ia sebagai satu titik tolak penting buat syarikat berkenaan.

"Satu rekod. Satu tanda pencapaian. Lembaran baharu kini bermula," kata pengeluar itu dalam laman sosial rasminya.

Rekod ini dipecahkan di CCCC Automotive Proving Ground, Shangrao dengan bantuan teknikal daripada pasukan Aspar Racing.

Sebagai info, CFMOTO V4-SR RR mula mencuri tumpuan arena automotif dunia apabila ia dipertontonkan buat kali pertama di pameran motosikal berprestij, EICMA (Pameran Motosikal Milan) pada tahun lalu.

Tampil dengan rekaan radikal, kemunculannya ketika itu yang membawa bersama konfigurasi enjin V4 yang dibangunkan sendiri oleh CFMOTO memberi bayangan awal pengeluar itu sedang menyiapkan sebuah jentera yang memfokuskan kepada kelajuan dan kuasa aerodinamik tahap tinggi.

Pencapaian CFMOTO V4-SR RR juga seperti menjadi amaran daripada CFMOTO kepada pengeluar dari Eropah dan Jepun bahawa mereka sudah bersedia untuk mendominasi segmen superbike bertaraf premium di pasaran global.