CFMOTO V4SR-RR Versi Lengkap Muncul Di EICMA 2026
Penampilan CFMOTO V4SR-RR di pentas EICMA pada tahun ini jelas cukup penting buat pengeluar motosikal gergasi China itu yang sekali gus menandakan kemasukan rasminya ke dalam segmen Sportbike berstatus elit
TERKINI
11/4/20261 min read


SELEPAS setahun versi prototaip CFMOTO V4SR-RR ditayangkan - juga di pentas EICMA - CFMoto akhirnya mendedahkan versi produksi motosikal 'Superbike' pertamanya CFMoto V4SR-RR di EICMA 2026.
Pelancaran itu jelas cukup penting buat pengeluar motosikal gergasi China itu yang sekali gus menandakan kemasukan rasminya ke dalam segmen 'Sportbike' berstatus elit.
Sebagai model 'flagship' baharu daripada CFMoto, CFMoto V4SR-RR menjanjikan prestasi luar biasa menerusi enjin bersesaran 997 cc, V4 yang mampu menghamburkan lebih 210 Hp dengan putaran enjin mencecah 15,000 rpm.
Enjin 90-darjah ini padat dengan teknologi litar lumba seperti aci engkol putaran berlawanan ala MotoGP untuk ketangkasan selekoh, rod penyambung titanium Pankl, serta sistem salur kemasukan udara bervariasi.
Inovasi paling mencuri tumpuan pada jentera seberat 180 kilogram ini adalah kehadiran sistem 'winglet' atau sirip aerodinamik aktif yang dikawal oleh penggerak motor secara berasingan di kiri dan kanan 'fairing'.
Sistem ini didakwa yang pertama seumpamanya pada motosikal Superbike pengeluaran, di mana sirip akan mendatar ketika memecut, menyenget sehingga 20 darjah pada kelajuan tinggi untuk kestabilan, dan menegak sehingga 90 darjah untuk menjana 20 peratus lebih downforce ketika membrek keras.
Sebagai jentera premium, CFMoto memadankan CFMoto V4SR-RR dengan komponen berkelas dunia termasuk suspensi Ohlins, angkup brek Brembo Hypure Sport, ekzos titanium Akrapovič dan tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP V4.
Selain versi Standard, CFMoto turut menyangkan versi 'premium' dikenali CFMoto V4SR-RR Carbon Black, versi edisi khas yang memfokuskan penggunaan ekstrem di litar lumba dengan padanan komponen gentian karbon menyeluruh.
Sebagai info, CFMoto V4SR-RR berjaya merekodkan kelajuan 315.82 kilometer sejam (km/j) di litar CCCC Shangrao, menjadikannya pemegang rekod kelajuan tertinggi bagi motosikal enjin pembakaran buatan China.



